Berikut adalah ulasan buku yang dikendalikan oleh pengendali @twt_buku untuk rujukan dan manfaat bersama.
Buku The Horrors and Absurdities of Religion tulisan Arthur Schopenhauer ini bukanlah boleh dikira sebagai buku kerana ianya adalah koleksi esei Arthur Schopenhauer. Ada tulisan Schopenhauer yang lebih terkenal terutamanya “The World as Will and I” yang kalau tak silap saya ada 4 buah buku kesemuanya. Antara esei yang dimuatkan The Horrors and Absurdities of Religion adalah berkenaan agama, etika, dan beberapa esei ringkas yang lain. Saya akan cuba sedaya upaya pemahaman saya memudahkan ulasan saya bagi membolehkan anda anda memahami topik ini.
Topik ini sebenarnya begitu luas, boleh dikaitkan dengan pelbagai topik dan hujah sosok lain seperti Kant, Descartes dan sebagainya. Tapi untuk kali ini, kita hanya cuba selami cebisan pemikiran Schopenhauer dalam esei "On Religon: A Dialogue". Tiada maklumat berapa lama masa diambil oleh Schopenhauer untuk menulis dialog ini dan adakah terdapat apa-apa rujukan dibuat. Tapi tak mengapalah.
On Religion: A Dialogue ini berkisar kepada perbualan dua sahabat baik iatu Demopheles dan Philalethes. Tidak dinyatakan dimana atau bila perbualan ini mengambil tempat.Saya membayangkan dialog ini berlangsung di sebuah kedai kopi di Paris. Tidak juga dinyatakan berapa umur Demopheles dan Philalethes atau ciri fizikal mereka. Hensem atau tidak mereka ini saya tidak tahu. Kita cuba bayangkan Demopheles dan Philalethes ini seperti Tom Cruise dan Brad Pitt di dalam filem Interview With The Vampire.
Demopheles dan Philalethes kedua-duanya adalah atheis tetapi Demopheles boleh dikatakan seorang sympathizer/condong kepada agama. Berbanding Philalethes, beliau seorang yang mahir berfalsafah dan kuat mengkritik mereka yang beragama. Di permulaan perbualan, Demopheles meluahkan ketidaksenangan beliau kepada Philalethes kerana memandang rendah pada mereka yang beragama.
Mengikut Demopheles, setiap kepercayaan manusia adalah suci dan perlu dihormati tidak kira siapapun. Philalethes membantah kerana menurutnya, manusia beragama berfikiran terlalu mudah kerana tidak mahu menggunakan akal mencari kebenaran. Saya tidak berhasrat untuk ulas keseluruhan dialog, Cuma ingin ketengahkan beberapa hujah didalam dialog diantara mereka berdua ini. Ada antara hujah diantara Demopheles dan Philalethes yang saya rasa agak menarik untuk dikongsi dan ditelaah bersama.
Hujah mereka ini sebenarnya sudah biasa didengar pada zaman moden ini, jadi saya rasa anda semua tidak akan hadapi masalah memahaminya. Pecahan hujah didalam dialog antara Demopheles dan Philalethes antaranya adalah seperti berikut.
Pertamanya; adakah agama itu jalan kepada kebenaran, atau kebenaran itu adalah jalan kepada agama? Dalam maksud lain, adakah agama itu seluruhnya kebenaran atau hanya manifestasi kepada kebenaran. Demopheles ada menyebut “Naked truth does not belong before the profane vulgar, it must before them heavily veil”.
Keduanya; adakah orang yang menerima agama itu berasaskan akal atau hanya berdasarkan iman/kepercayaan semata-mata. Mengikut hujah Philalethes, kebanyakan manusia menerima agama sejak kecil ketika mereka tidak tahu berfikir atau menggunakan akal. Apabila dewasa, mereka tidak berani mempersoalkan kepercayaan mereka kerana bertentangan dengan apa yang mereka percayai sejak kecil. Bagi Philalethes, ini membuatkan mereka yg beragama malas berfikir dan enggan mencari kebenaran waima berkenaan apa yang mereka percaya.
Ketiga; adakah manusia perlukan agama untuk menjadi baik atau agama sahajalah satu-satunya jalan kepada kebaikan. Maksudnya adakah manusia mempunyai keupayaan untuk untuk berfikir tentang baik buruk sesuatu perkara secara sendiri tanpa bantuan agama? Dalam hal ini Philalates menyebut "Religious may be an excellent means of taming & training the perverse, obtuse & wicked biped race but in the eyes of the friend of truth every fraud, however pious, is still fraud”.
Dialog antara Demopheles dan Philalethes ini saya boleh simpulkan berkisar kepada persoalan Akal vs Iman. Maksudnya; adakah kebenaran agama itu perlu dicari menggunakan akal atau hanya perlu diterima membabi-buta.
Jadi berdasarkan pemahaman peribadi anda, apa penilaian anda dengan teras hujah mencari kebenaran berdasarkan Akal vs Iman ini?