![]() |
Nota editor: ini adalah sebahagian daripada siri Asahi Shimbun AJW tentang penulis terkenal Haruki Murakami dan ulasan ketujuh “The Hanshinkan Kid” oleh Koji Konishi
* * *
Haruki Murakami memang dikenali sebagai seorang yang amat gemar kepada kucing kerana beliau sering menggunakan watak kucing didalam karya-karya beliau.
Didalam koleksi esei “Murakami Harukido Wa Ikanishite Kitaeraretaka”, Murakami menceritakan kisah tentang seekor kucing tua yang pernah beliau pelihara.
Didalam salah satu karya beliau berjudul “Choju Neko No Himitsu” (Rahsia Seekor Kucing Tua), Murakami menceritakan bagaimana beliau pernah meminta seorang eksekutif senior di syarikat penerbitan Kodansha Ltd untuk menjaga kucing beliau ketika beliau dan isterinya tiada dirumah dalam tempoh yang agak lama. Sebagai balasan, Murakami berjanji kepada eksekutif tersebut bahawa beliau akan menulis sebuah novel untuk syarikat beliau. Murakami menunaikan janjinya dengan menulis novel Norwegian Wood (Kayu Norwegian) yang kemudiannya menjadi novel yang sangat laris.
Murakami menamakan kucing tua tersebut “Fuku Neko” (Kucing Bertuah). Semasa zaman kanak-kanak beliau, Murakami sering bermain di kuil Nishinomiya di bandar Nishinomiya, sebuah bandar yang dikatakan terletak didalam kawasan Hanshinkan diantara Osaka dan Kobe. Saya amat biasa dengan kawasan tersebut kerana ianya juga tempat kesukaan saya untuk bermain ketika saya kecil.
Sebagai seorang kanak-kanak Hanshinkan seperti Murakami, saya berpendapat nama yang diberikan kepada kucing tersebut terinspirasi daripada acara lumba “Fuku Otoko” (Lelaki Bertuah) yang diadakan seawal 10 Januari sebagai acara utama pada festival tahunan Toka Ebisu. Sekumpulan peserta akan berlari sekuat hati lebih 200 meter dari pintu utama kuil sehingga ke dewan utama untuk menjadi “Lelaki Bertuah”.
Didalam esei yang sama, Murakami turut menceritakan bagaimana kucing tersebut akan duduk di ribanya ketika beliau sedang menulis novel pertama beliau “Hear The Wind Sing” (Dengarkan Angin Bernyanyi).
“Saya masih ingat dengan jelas ketika saya sedang menulis novel pertama saya di waktu malam, kucing tersebut akan duduk di ribaan saya sambil saya meneguk bir”
KUCING YANG HILANG, ISTERI YANG HILANG
Tidak seperti anjing yang dirantai di luar rumah, kucing dipelihara sebagai binatang peliharaan didalam rumah. Walaupun lokasinya sering tidak diketahui, kucing mempunyai tempat yang penting didalam hati pemiliknya. Jika seekor kucing, yang selalunya akan kembali ke rumah selepas berkeliaran di luar, menghilangkan diri, ia perlu diambil sebagai satu isyarat yang jelas bahawa sesuatu yang buruk akan berlaku.
Misteri dan simbolik seekor kucing selalu muncul didalam novel-novel Murakami dalam saat-saat yang penting. Didalam novel “The Wind Up Bird Chronicle” (Babad Burung Yang Dibawa Angin) yang berkisar tentang seorang protaganis yang mencari isterinya hilang, kucing mereka hilang terlebih dahulu yang kemudian diikuti oleh misteri kehilangan isterinya yang seolah-olah berpunca daripada kehilangan kucing tersebut.
Kucing turut memainkan watak penting didalam novel panjang “IQ84” yang mengandungi kisah tentang bandar kucing khayalan dimana penduduknya hanyalah kucing.
Seorang pengembara muda turun daripada keretapi di sebuah stesen dan mendapati bandar tersebut sunyi sepi tanpa sesiapapun kelihatan. Tetapi fakta sebenarnya, bandar tersebut adalah bandar yang hanya didiami kucing. Bila matahari mula terbenam, kucing-kucing akan datang ke bandar tersebut dan akan menjalani kehidupan seperti manusia biasa. Bila pengembara muda tersebut cuba menaiki keretapi di stesen lain untuk meninggalkan bandar tersebut, keretapi tidak berhenti dan hanya melalui stesen itu tanpa memperlahankan keretapi. Pengembara muda itu sedar bahawa beliau telah sesat.
The New York Times memuji deskripsi mantap bandar yang didiami kucing tersebut manakala majalah New Yorker menerbitkan artikel tentang perihal ini. Didalam artikel tersebut, Murakami menyatakan seperti berikut
“bandar kucing adalah kisah yang saya reka. Saya rasa agak lama dahulu saya pernah membaca sesuatu sepertinya tetapi saya tidak boleh ingat dengan jelas apa yang saya baca. Apapun, episod ini berperanan sebagai fungsi simbolik dalam banyak sudut didalam novel tersebut – bagaimana seorang manusia mengembara ke dalam dunia yang beliau tidak boleh tinggalkan, persoalan tentang siapa yang mengisi ruang kosong tesebut, ketidakmampuan untuk mengelak malam yang akan bertukar menjadi siang. Kemungkinan jauh didalam diri kita, setiap daripada kita mempunyai “bandar kucing” kita sendiri – atau itu mungkin hanya sekadar perasaan saya”
KEMUNGKINAN PENGARUH DARIPADA NATSUME DAN TANIZAKI
Terdapat dua penulis terkenal dari Jepun yang menulis cerita pendek tentang kucing sebelum Murakami. Pertama adalah Soseki Natsume dimana karya beliau “Wagahi Wa Neko De Aru” (Saya Seekor Kucing) menceritakan secara satarikal masyarakat dan penduduk Jepun ketika era Meiji (1868–1912) dari pandangan si pencerita iaitu seekor kucing peliharaan yang digambarkan seperti seorang manusia.
Penulis kedua pula adalah Junichiro Tanizaki, yang menulis karya “Neko To Shoza To Futari No Onna” (Seekor Kucing, Shozo Dan Dua Orang Perempuan) yang menceritakan bagaimana kucing menjalani kehidupan mereka. Ia dikatakan novel tentang kucing dalam bahasa Jepun yang terbaik pernah ditulis.
Didalam temuramah terbuka yang beliau berikan di Kyoto pada Mei 2013, Murakami menyatakan antara penulis Jepun kesukaannya adalah Natsume dan Tanizaki. Salah satu watak didalam novel Kafka On The Shore (Kafka Di Persisiran), Satoru Nakata, adalah seorang lelaki tua yang telah kehilangan upaya untuk membaca dan menulis akibat satu insiden pelik di zaman kanak-kanak beliau tetapi pada masa yang sama beliau mendapat keupayaan untuk berkomunikasi dengan kucing. Watak yang pelik ini berkemungkinan mencerminkan pengaruh daripada dua penulis ulung ini.
Kedua-dua mereka Tanazaki dan Murakami pernah tinggal berhampiran dengan sungai Shukugawa, yang mengalir merentasi Nishinomiya. Taman Shukugawa yang terletak di kedua-dua belah sungai Shukugawa adalah tempat berpeleseran kucing-kucing liar dikawasan tersebut. Kucing-kucing ini tidak pernah ambil kisah tentang manusia yang lalu-lalang.
Kedua-dua mereka Tanazaki dan Murakami mungkin tertarik dengan kucing yang bermain di taman tersebut dan mendapat idea untuk karya –karya mereka.
“Fuwa Fuwa” (Berbulu) adalah buku bergambar yang dihasilkan bersama oleh Murakami yang bertindak sebagai penulis, dan Mizumaru Anzai yang bertindak sebagai pelukis. Anzai meninggal dunia pada Mac 2014.
Buku tersebut bermula dengan rangkap “saya suka kebanyakan kucing didalam dunia, tetapi dalam banyak-banyak kucing yang hidup didalam dunia ini, saya paling suka kucing betina yang sudah tua”.
Walaupun “Fuwa Fuwa” adalah buku bergambar, ianya bukan bahan bacaan yang mudah kerana tulisannya dipenuhi dengan metafora Murakamiesque.
Kucing tersebut dipelihara di rumah seorang doktor sebelum diberikan kepada si protoganis iaiatu seorang budak lelaki. Tetapi kucing tersebut kembali semula ke rumah tuannya dengan melintasi dua landasan keretapi dan sebatang sungai. Kucing itu kemudiannya dibawa semula ke rumah budak lelaki tersebut dan diberi nama yang tidak seperti nama biasa yang diberikan kepada kucing iaitu “Dantsu”. Kucing itu lama kelamaan menjadi sahabat baik budak lelaki tersebut.
Jika saya mengandaikan watak Dantsu adalah ditulis berpandukan kepada kucing yang sememangnya dipelihara oleh Murakami, sepertimana yang dipercayai, saya sebagai seorang anak Hanshinkan yang tinggal berhampiran sungai Shukugawa sejak zaman kecil saya, tidak boleh tidak memikirkan tentang jambatan sebenar dan dua landasan keretapi yang merentasi jambatan Shukugawa dan juga laluan landasan keretapi elektrik Hanshin dan laluan utama JR Tokaido, yang mempunyai landasan merentasi dan melalui laluan bawah di kawasan tersebut.
* * *
Koji Konishi adalah timbalan presiden Institut Kebudayaan Daerah Hanshinkan (Hanshinkan Regional Cultural Institute). Beliau turut mengajar tentang kebudayaan di kawasan Hanshikan sebagai pensyarah separuh masa di Universiti Antarabangsa Kobe.
Teks asal dalam bahasa Inggeris boleh dibaca di SINI
Sumber gambar: google image
Teks asal dalam bahasa Inggeris boleh dibaca di SINI
Sumber gambar: google image