Selepas 200 tahun kematian Jane Austen, ramai yang masih tertanya-tanya bagaimanakah rupa paras sebenar beliau. Satu-satunya rujukan mengenai rupa paras Austen adalah lukisan oleh adik beliau Cassandra Austen yang menurut pendapat sepupu Austen "sangat tidak serupa".
Baru-baru ini, Jane Austen Centre telah membuat satu ukiran patung lilin Jane Austen berpandukan hasil kerja dan penyelidikan yang dilakukan pelukis forensik Melissa Dring yang pernah mendapat latihan di Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI). Menurut Dring, ukiran patung lilin ini adalah "amat mirip" dengan rupa paras sebenar Jane Austen.
Bagi yang berminat untuk melihat dengan mata sendiri ukiran patung lilin tersebut, ia sekarang dipamerkan di Jane Austen Centre di Bath, United Kingdom.
***
Sumber berita dan gambar: The Guardian