![]() |
Saya bertemu Daniel Genis di sebuah kedai buku. Ketika itu bulan Mac, dan saya berada di situ untuk bercakap kepada sekumpulan panel mengenai novelis komik di penghujung era Soviet bernama Sergei Dovlatov dan Genis datang berjumpa saya selepas itu untuk berbual mengenai buku. Jelas daripada perbualan kami bahawa beliau memang tahu banyak tentang buku. Genis bercakap dengan banyak dan cepat dan pandangan matanya yang lesu seolah-olah memberitahu bahawa beliau menyimpan rahsia yang sangat menarik. Pada malam itu, beliau memakai baju t yang hampir menampakkan perut dan baju kot yang seperti tidak muat dengan badannya. Dia mempunyai sebab kukuh untuk berada di kedai buku: bapanya adalah Alexender Genis yang pernah bekerjasama dengan Dovlatov iaitu seorang penulis non-fiksyen Rusia yang mana koleksi eseinya pada masa ini tersenarai sebagai buku paling laris di Rusia.
Saya dan Genis berbual panjang. Rupa-rupanya ibu-bapa kami walaupun tidak rapat, sebenarnya saling mengenali antara satu sama lain dan kami berdua pernah bersekolah di sekolah menengah yang sama. Saya agak pelik kenapa kami berdua tidak pernah berjumpa. Sebabnya kata Genis, beberapa minggu sebelum itu beliau baru dibebaskan dari penjara dimana beliau merengkok selama 10 tahun 3 bulan selepas mengaku salah atas 5 pertuduhan samun bersenjata. Beliau juga dengan bersahaja memberitahu bahawa waktu sebenar beliau mula membaca buku dengan serius bukanlah ketika beliau melanjutkan pengajian dalam bidang sejarah di Universiti New York atau ketika beliau bekerja di sebuah agensi penerbitan buku di Manhattan tetapi sebaliknya ketika beliau berada di Green Haven Correctional Facility (Pusat Pemulihan Green Haven) di Stormville, New York. Disana, beliau menyatakan bahawa beliau telah membaca sebanyak 1048 buah buku.
Saya dan Genis berbual panjang. Rupa-rupanya ibu-bapa kami walaupun tidak rapat, sebenarnya saling mengenali antara satu sama lain dan kami berdua pernah bersekolah di sekolah menengah yang sama. Saya agak pelik kenapa kami berdua tidak pernah berjumpa. Sebabnya kata Genis, beberapa minggu sebelum itu beliau baru dibebaskan dari penjara dimana beliau merengkok selama 10 tahun 3 bulan selepas mengaku salah atas 5 pertuduhan samun bersenjata. Beliau juga dengan bersahaja memberitahu bahawa waktu sebenar beliau mula membaca buku dengan serius bukanlah ketika beliau melanjutkan pengajian dalam bidang sejarah di Universiti New York atau ketika beliau bekerja di sebuah agensi penerbitan buku di Manhattan tetapi sebaliknya ketika beliau berada di Green Haven Correctional Facility (Pusat Pemulihan Green Haven) di Stormville, New York. Disana, beliau menyatakan bahawa beliau telah membaca sebanyak 1048 buah buku.
Usai pertemuan itu, kami sering berhubung dan selepas beberapa kali makan malam bersama dan meminum berbotol-botol air mineral yang mengandungi sulfur dari Brighton Beach, Genis mula bercerita dengan lebih terperinci. Beliau membesar di sebuah pangsapuri di Washington Heights, sebuah pangsapuri yang pada tahun 80an dan awal dekad 90an menjadi sebuah rumah kelab untuk penulis dan seniman yang berhijrah dari Soviet dan sangat kuat minum arak. Bapanya – seorang pengkiritk budaya, eseis dan hos radio yang dalam lingkungan penulis di Rusia dikenali sebagai kombinasi janggal antara Bernard-Henri Levy dan Bill Bryson - akan melayan tetamu yang datang berkunjung sambil meminum vodka. Bersama Dovlatov dan jurnalis Peter Vail, bapa Genis akan mengedit akhbar mingguan yang sangat berpengaruh iaitu "The New American" yang diterbitkan dalam bahasa Rusia.
Di pangsapuri yang terletak di Ellwood Street ini, sekumpulan lelaki memasak dan berbincang tentang seni dan politik dan selepas menikmati minuman, tugas mengemas akan diserahkan kepada ibu Genis bernama Irina yang bekerja di Pan Am. Ada diantara mereka kadangkala minum dengan banyak sehinggakan mereka tertidur di pangsapuri berkenaan dan mendapati diri mereka berada di dalam tub mandi apabila mereka bangun keesokan harinya. Genis yang masih kecil ketika itu akan menerima sepasang sut dan duit poket sebagai upah menterjemah buku-buku yang sangat sukar dibaca kedalam bahasa Rusia. Genis memberitahu "ketika kecil, saya seperti orang dewasa didalam tubuh kanak-kanak dan saya belajar bahawa jika saya berkelakuan nakal, kelakuan saya amat mudah dimaafkan selagi saya menjadi seorang kanak-kanak yang berbakat dan memiliki kelebihan artistik".
Lingkungan sosial Genis ketika sekolah menengah tertumpu kepada gerombolan kumpulan Punk dan muzik Wu Tang Clan, tetapi secara peribadinya beliau suka mengunjungi kedai-kedai buku antik, menyusuri edisi-edisi buku klasik Greek dan Roman dari kurun ke 17 hingga kurun ke 19 dan juga buku-buku tulisan Aquinas, Monstesquieu dan Dante. Di awal persekolahan menengah beliau, ada juga buku yang mempengaruhi beliau untuk berjinak-jinak dengan dadah dan beliau selalu mendekati mereka-mereka yang memiliki buku-buku seperti itu. "Membaca buku-buku tulisan Nietzsche, Burroughs dan buku-buku the Beats bukanlah satu idea yang bernas bagi seorang remaja" kata Genis.
Semasa di kolej, Genis mula berjinak-jinak membeli kokain daripada pengedar jalanan yang beliau kenali di Washington Heights dan menjualnya semula kepada pelajar-pelajar Universiti New York dengan harga yang lebih tinggi. Keuntungan yang beliau perolehi digunakan untuk membeli buku, belajar selama satu semester di Copenhagen, mengembara mengelilingi Eropah dan membayar sewa yang tinggi untuk pangsapuri yang terletak di penjuru Second Street dan Second Avenue, dimana di tempat tersebut lah beliau telah ditangkap kerana menjual satu auns kokain kepada seorang polis yang menyamar sebagai pembeli. Ia merupakan kesalahan pertama beliau dan peguam beliau berjaya membuat rundingan untuk mengurangkan pertuduhan beliau kepada pertuduhan yang lebih ringan dan perintah pemerhatian selama 5 tahun, yang mana menurut Genis mungkin diberikan kepada beliau atas faktor "beliau masih remaja dan berkulit putih".
Genis tidak suka untuk meminta pertolongan ibunya untuk menjamin beliau tetapi beliau juga tidak kisah dengan masa depan beliau. Kata Genis "saya sentiasa tahu bahawa saya akan bekerja dalam dunia perbukuan, dan mereka yang bekerja dalam dunia perbukuan selalunya tidak kisah tentang kesalahan-kesalahan lampau yang berkaitan dengan dadah". Semasa di kolej, Genis menjalani latihan praktikal dengan syarikat penerbitan Applause Books dimana beliau berjaya mendapat kredit sebagai pengedit dalam sebuah ensiklopedia filem, dan selepas habis belajar di Universiti New York – satu semester lebih awal dengan kepujian – beliau bekerja dengan Nancy Love, seorang ejen buku di Upper East Side. Beliau menguruskan hal-hal berkaitan dengan kontrak dan surat-surat pertanyaan. Selepas dua tahun, beliau kehilangan kerja tersebut dan teman wanita beliau pada masa itu telah memperkenalkan beliau kepada suntikan heroin.
Ketika melawat Latvia bersama pakcik beliau, beliau sedar bahawa beliau telah ketagihan heroin. Beliau tertewas dengan ketagihannya ketika berada di stesyen keretapi Riga. Akibat tidak mampu menahan ketagihan beliau, beliau terjerumus berkongsi alatan menyuntik dadah dari era Soviet yang dipinjam daripada seorang pengedar yang membawanya didalam kot yang dipakai. Sekembalinya beliau ke New York, Genis mengahwini seorang penganjur majlis keraian berbangsa Hungary bernama Petra Szabo, dan selama hampir setahun beliau berjaya menyembunyikan ketagihannya daripada isteri beliau. Beliau pernah menjalani sesi detox dan pemulihan dan pernah juga mencuba metadon tetapi semuanya menemui kegagalan. Ketagihannya menelan belanja yang amat tinggi sehingga 200 dolar setiap hari dan beliau sentiasa tidak mempunyai duit. Pada tahun 2003, semasa beliau menerima upah sebanyak 25 dolar sehari di Princeton Review sebagai pengajar pelajar yang sedang membuat persediaan bagi menduduki peperiksaan kemasukan ke kolej, beliau berhutang dengan seorang pengedar heroin berbangsa Ukrain sebanyak 5 ribu dolar. "saya menjadi amat takut, terutamanya tentang keselamatan isteri saya" kata beliau. "Saya pernah terfikir bahawa saya patut meminjam duit daripada ibu-bapa saya".
Sebaliknya, Genis mula bergiat dalam aktiviti rompakan yang rasanya mungkin aktiviti jenayah paling bermartabat rendah di tempat beliau tinggal. Pada bulan Ogos tahun itu, dalam tempoh seminggu, beliau merompak dua buah kedai dan tiga pejalan kaki dengan menggunakan pisau dimana beliau akan meminta maaf dengan panjang lebar kepada mangsanya sebelum melarikan diri. "Saya sebenarnya perompak yang teruk” beritahu Genis kepada saya. Dua orang lelaki berjaya menghalang Genis daripada merompak mereka dengan membaling pizza kepada Genis. Seorang pemilik kedai iaitu seorang wanita bertubuh kecil yang ketika itu sedang menutup kedai tehnya pada sebelah malam menjadi berang dan menyuruh Genis untuk “berambus” apabila Genis cuba meminta duit daripada beliau. Genis akur.
Selepas hampir seminggu, hasil rompakan beliau cukup untuk membayar hutang beliau kepada pengedar, dan beliau juga berjaya membuang ketagihan beliau. Beliau berjaya menjalani kehidupan normal selama 3 bulan sehinggalah apabila seorang perempuan yang beliau pernah rompak ternampak beliau di jalanan. Genis telah digari di sebuah penjuru di Stanton dan Bowery. Penangkapan beliau turut dilaporkan didalam akhbar the New York Post dengan tajuk berita "Sorry Bandit’ Jailed in Polite Rob Spree". Genis ketika itu masih dalam tempoh pemerhatian, dan beliau merengkok didalam penjara selama 9 bulan kerana tiada siapa yang datang untuk menjamin beliau sementara beliau menanti jatuh hukum di Riker’s Island. Pada bulan Jun 2004, hakim menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun terhadap beliau dimana 10 tahun darinya adalah hukuman penjara mandatori.
Genis pernah hidup di berdozen penjara berkawalan maksimum, dan penjara yang memiliki kawalan biasa yang merupakan sebahagian daripada sistem pengadilan jenayah Amerika. Semasa didalam penjara, beliau pernah menjadi kerani untuk seorang rabbi, mencuba latihan bina badan (yang menyebabkan kecederaan kepada tulang belakang beliau), menyaksikan pergaduhan kaum dan pembunuhan, melihat seorang lelaki cuba melemaskan diri didalam tandas dan memakan burung camar yang dimasak oleh tukang masak penjara. Beliau berpeluang mengenali Michael Alig si pembunuh rakan sebilik (Club-Kid Killer), Robert Chambers si pembunuh rakan belajar waktu malam (Preppie Killer) dan Ronald Defeo Jr yang menjadi ilham kepada novel "The Amytaville Horror" kerana membunuh empat adik beradik dan ibu-bapa mereka. Tetapi kebanyakan masa Genis didalam penjara sebenarnya banyak dihabiskan dengan membaca. "Hari-hari di penjara mempunyai persamaan diantara mereka, dan banyak perbualan yang sangat bernilai dan bermakna buat saya adalah dengan penulis buku" kata Genis. Beliau membuat catatan tentang buku-buku yang beliau baca didalam sebuah jurnal.
Baru-baru ini, beliau membenarkan saya untuk menyemak tindanan buku-buku mengandungi mukasurat bercampur aduk yang ditulis dengan tulisan kecil dan kemas oleh beliau. Setiap buku di catatkan nombor dan dicatit catatan yang eseistik tetapi ringkas kerana faktor kekurangan kertas untuk menulis di penjara. Beliau selesai membaca buku terakhir dalam senarai beliau – sebuah memoir tulisan Alig yang beliau gemari – pada bulan Januari.
"Saya bermula dengan membaca buku-buku yang membantu saya untuk menyedarkan saya tentang keadaan sekeliling saya" imbau Genis, yang bermaksud buku-buku tentang pemenjaraan. Beliau membaca "Papillon", "The House of the Dead" tulisan Dostoyevsky, naratif Gulag tulisan Solzhentisyn dan Shalamov, Autobiografi Malcom X, memoir tentang Spandau tulisan Albert Speer dan "Newjack: Guarding Sing Sing" tulisan Ted Conover (empat mukasurat daripada buku ini telah dibuang oleh pihak penjara). Kemudian beliau menghadam tulisan berkaitan rejim otoritarian ("hal menjijikkan yang secara perbandingan membuatkan saya berasa lebih baik" tulis Genis): Biografi Pol Pot, Mao dan Pinochet; sejarah Khmer Rouge dan Revolusi Budaya; dan diari Goebbles.
Memasuki penjara sebagai seorang ateis yang mempunyai relativiti moral yang melengkung, Genis cuba berhadapan dengan persoalan baik dan buruk, menghadam Pascal, Rousseau dan Schopenhauer, "Crime and Punishment" dan "Hunger" tulisan Knur Hamsun. Diselang-seli dengan bahan bacaan fiksyen sains oleh William Gibson, Frederik Pohl dan Philip K Dick sebagai bahan bacaan santai, jurnal yang ditulis oleh Genis nampak seperti baru bermula.
"Membaca di dalam penjara memberi peluang kepada saya untuk mengikut minat saya" ujar Genis; yang mana ada antaranya adalah tangen antropologi yang diilhamkan melalui persahabatannya dengan banduan lain. Genis membaca "The Little Flowers of St. Francis" dan "Lolita" apabila beliau mula memasak pesto (“yang melibatkan ketuhar mikro”) bersama seorang bekas rahib lelaki Francisan yang dipenjarakan atas kesalahan mencabul kanak-kanak. Seorang bekas anggota Black Liberation Army mengilhamkan beliau untuk membaca "Soul On Ice", tajuk-tajuk daripada Donald Goines dan Frantz Fanon, dan juga sejarah pergerakan Rastafari.
"Membaca di dalam penjara memberi peluang kepada saya untuk mengikut minat saya" ujar Genis; yang mana ada antaranya adalah tangen antropologi yang diilhamkan melalui persahabatannya dengan banduan lain. Genis membaca "The Little Flowers of St. Francis" dan "Lolita" apabila beliau mula memasak pesto (“yang melibatkan ketuhar mikro”) bersama seorang bekas rahib lelaki Francisan yang dipenjarakan atas kesalahan mencabul kanak-kanak. Seorang bekas anggota Black Liberation Army mengilhamkan beliau untuk membaca "Soul On Ice", tajuk-tajuk daripada Donald Goines dan Frantz Fanon, dan juga sejarah pergerakan Rastafari.
Perbualan beliau dengan seorang rabbi memperkenalkan beliau kepada Martin Buber, Josephus, Spinoza, sebuah buku oleh Lubavicther Rebbe Menachem Schneerson, pamplet oleh Chabad yang tidak terkira banyaknya, malah turut memperkenalkan beliau kepada hasil kerja epistolari kurun ke 12 oleh Maimonides berjudul "A Guide for the Perplexed" (Genis: “tulisannya seperti tidak ada penghujung”). Agak di luar jangkaan juga, seorang rakan gay turut berkeras mahu beliau mengemaskini bacaan beliau berkenaan homoseksualiti ("secara asasnya, ia banyak berkisar kepada tulisan Chesterton dan "Brideshead Revisited") berserta memoir daripada David Sedaris dan Augusten Burroughs dan juga "Cooking With Fenet Branca" tulisan James Hamilton-Peterson. "Orang di sekeliling saya meilihat apa yang saya baca dan saya banyak mendapat soalan dan pertanyaan tentang buku yang saya sedang baca" ujar Genis.
Banduan tidak dibenarkan untuk menggunakan internet, dan kadangkala buku-buku amat susah untuk diperolehi. Bapa Genis akan membawa banyak buku ketika datang melawat; ada yang dipesan daripada katalog yang dicetak atau dipinjam daripada perpustakaan lain; yang lain datang dari perpustakaan penjara yang menurut Genis "memiliki lebih kurang 15 ribu tajuk buku, yang kebanyakannya adalah buku James Patterson". Menghadam koleksi buku-buku lama ini membolehkan Genis menyemai minat terhadap penulis-penulis yang mungkin buku mereka jarang dibaca pada masa kini, dan beliau menghabiskan masa berminggu-minggu membaca karya Casanova, Jeremy Bentham, "The Prisoner of Zenda" dan kesemua karya pengenalan kepada Richard Francis Burton yang menterjermah "A Thousand and One Nights" dan menyamar untuk menyusup ke dalam kota Mekah. "Penjara membolehkan saya untuk melakukannya" kata Genis dengan nada yang seakan nostalgik.
Menyusuri mukasurat demi mukasurat jurnal Genis memberitahu saya bahawa beliau kadangkala membaca sesebuah buku hanya atas sebab buku itu ada pada beliau. Agak susah untuk menerangkan kenapa ada catatan-catatan mengenai buku seperti "Sumo: From Rite to Sport," oleh P. L. Cuyler ("penulis tidak mahu mengakui ada sesuatu yang tak masuk akal tentang sumo"); "Sport Supplement Review," oleh Bill Phillips ("Saya bersyukur apabila mengetahui kreatina tidak mendatangkan kesan buruk terhadap buah pinggang"); "Hard Candy" oleh Andrew Vachss ("masih bodoh"); "A Divine Revelation of Hell," oleh Mary K. Baxter ("saya membaca buku ini ketika saya terpaksa menunggu di klinik selama 5 jam"); "Jackie, Oy!" oleh Jackie Mason dan Ken Gross ("beliau dilahirkan di Wisconsin!"); "Christina of Sweden" oleh Sven Stolpe ("Karektor yang sungguh mengujakan!"); "The Xenophobe’s Guide to the Russians," oleh Vladimir Zhelvis ("keseluruhannya mengandungi fakta stereotaip dan benar"); "Sausage," oleh Nichola Fletcher ("pengenalan terhadap sosej –sosej terbaik di dunia"); "Pellucidar," oleh Edgar Rice Burroughs ("masalah berkenaan graviti masih belum diselesaikan"); dan "The Great War: American Front," oleh Harry Turtledove ("saya tidak mahu lagi membaca apa-apa tulisan daripada Turtledove").
Genis mengambil masa setahun untuk menghabiskan 7 jilid tulisan Proust. Kebanyakannya dilakukan ketika beliau dalam kurungan persendirian kerana dituduh melakukan "transaksi haram" selepas beberapa orang banduan "menjual jiwa mereka (kepada Genis)" untuk beberapa cawan kopi ("beberapa pengawal penjara beragama kristian tidak peduli tentang jenaka saya" tulis Genis). Beliau membaca "In Search of Lost Time" disamping dua buku panduan akademik yang penuh dengan anotasi dalam bahasa Perancis, dan sebuah kamus. Beliau menyatakan tiada buku lain yang membuatkan beliau berasa masa yang dihabiskan didalam penjara begitu berharga. "Sudah tentu, kita juga seperti seniman memori…," tulis Genis berkenaan buku "Time Regained" didalam jurnalnya yang merujuk kepada banduan-banduan didalam penjara. "Setiap banduan hidup di masa lampau dan berusaha membuat masa mereka berlalu dengan pantas" tulis beliau. "Tetapi untuk membunuh hari-hari anda sebenarnya adalah seperti memendekkan hidup anda sendiri".
Didalam penjara, masa adalah musuh dan ikhtiar pada masa yang sama, dan Genis menyatakan Proust meyakinkannya bahawa satu-satunya cara untuk beliau wujud di dunia luar walaupun dalam tempoh yang singkat adalah dengan menjadi penulis. Beliau berjaya menulis sebuah novel bertajuk "Narcotica", karya fiksyen spekulatif mengenai masyarakat yang tidak menjadikan aktiviti berkaitan dadah sebagai satu kesalahan jenayah.
Genis kini tinggal bersama Szabo – mereka kekal berkahwin semasa beliau berada didalam penjara – berdekatan terusan Gowanus. Beliau mula mahir menggunakan Facebook dan talifon pintar, dan sedang bersiap sedia untuk menjadi seorang jurnalis sepenuh masa. Szabo kini bekerja sebagai seorang instruktor yoga, dan kali terakhir saya melawat mereka, Szabo duduk dilantai dalam posisi yang bertentangan dengan beberapa anatomi normal seorang manusia. Genis mengeluarkan sekotak rokok Marlboro 100. Saya bertanya apakah buku yang beliau sedang baca.
"Secara jujurnya," kata Genis, "saya sudah tidak membaca buku sejak saya keluar dari penjara".
"Secara jujurnya," kata Genis, "saya sudah tidak membaca buku sejak saya keluar dari penjara".
***
Artikel tulisan Alex Halberstard ini diterbitkan oleh New Yorker pada 08 Julai 2014. Teks asal dalam bahasa Inggeris boleh dibaca di SINI
Kredit gambar: Spaarnestad Photo/Redux
Kredit gambar: Spaarnestad Photo/Redux