
Tahun ini merupakan sambutan ulangtahun ke 60 penerbitan versi bahasa Inggeris Waiting For Godot karya Samuel Beckett . Beckett sendiri telah menterjemah karya beliau ini yang pada asalnya ditulis dalam bahasa Perancis menggunakan tajuk En Attendant Godot. Karya ini bukan cubaan pertama Beckett untuk menulis dalam bahasa Perancis. Beliau telah mula menulis puisi-puisi bahasa Perancis sejak awal tahun 1938 lagi dan menterjemah sebuah buku bahasa Inggeris ke dalam bahasa Perancis. Waiting For Godot menandakan bermulanya rutin dalam karier beliau untuk menulis dalam bahasa Perancis dan menterjemahkan sendiri karya beliau ke dalam bahasa Inggeris.
Sudah tentu ia menimbulkan pelbagai persoalan. Antaranya teks dalam bahasa mana yang lebih otoratif memandangkan Beckett sendiri yang menulis dan kemudian menterjemah karyanya sendiri, dan persoalan paling utama adalah kenapa seorang lelaki berasal dari Ireland seperti beliau menulis dalam bahasa Perancis?
Beckett pernah menerangkan perkara ini dalam satu surat yang dihantarnya kepada rakan beliau Axel Kaun pada tahun 1937. Antara sebab utama yang dinyatakan Beckett dalam surat tersebut adalah bahawa beliau tidak mahu terikat dengan gaya dan peraturan-peraturan tatabahasa dalam bahasa Inggeris yang kadangkala beliau rasakan sangat tidak relevan sekali.
Apapun pilihan bahasa yang ingin digunakan oleh Beckett, kita semua tetap bersyukur kerana dianugerahkan dengan kehadiran penulis seperti beliau yang mana karya-karya beliau terus dibaca dan dihadam walaupun beliau telah lama meninggalkan dunia ini.
***
Sumber: The Millions