Tengo mengeluarkan bukunya dan mula membacanya dengan perlahan-lahan dengan suara yang jelas dan berhenti dua atau tiga kali untuk mengambil nafasnya. Dia memandang ayahnya setiap kali dia berhenti membaca tetapi dia tidak melihat apa-apa reaksi yang boleh difahami di wajah ayahnya. Adakah ayahnya menyukai ceritanya? Dia tidak tahu.
"Adakah pekan kucing tersebut memiliki televisyen?" tanya ayahnya bila Tengo selesai membaca.
"Cerita ini ditulis di Jerman pada tahun 1930an. Mereka belum memiliki televisyen ketika itu. Tapi mereka ada radio."
"Adakah kucing-kucing itu sendiri yang membina pekan tersebut? Atau adakah manusia yang membina pekan tersebut sebelum ia didiami oleh kucing?" tanya ayahnya, yang seolah-olah seperti sedang bercakap dengan dirinya sendiri.
"Saya tidak tahu" kata Tengo. "Tetapi ia memang kelihatan seperti dibina oleh manusia. Mungkin ada sebab kenapa merekq meninggalkan pekan tersebut - mungkin mereka semua mati akibat apa-apa wabak - dan kucing-kucing datang tinggal disitu."
Ayahnya mengangguk. "Apabila wujudnya satu bentuk vakum, sesuatu perlu hadir untuk mengisinya. Itu yang dilakukan oleh semua orang."
Itu dilakukan oleh semua orang?"
"Tepat sekali."
Apa bentuk vakum yang ayah isi?"
Ayahnya mengerutkan muka. Kemudian dia berkata dengan suara yang sedikit sarkastik, "Kau tak tahu?"
"Saya tak tahu" kata Tengo.
Lubang hidung ayahnya mengembang. Salah satu bulu keningnya naik sedikit. "JIka kau tak boleh memahaminya tanpa sebarang penjelasan, kau tidak akan memahaminya dengan satu penjelasan.".
Tengo mengecilkan matanya, dan cuba memahami ekspresi ayahnya. Tidak pernah sekalipun ayahnya menggunakan bahasa yang pelik dan penuh dengan tanda tanya. Dia selalu berkata-kata dengan menggunakan terma yang kukuh dan praktikal.
"Begitu. Jadi ayah sepertinya mengisi satu vakum," kata Tengo.
"Baiklah, jadi siapa yang akan mengisi vakum yang telah ayah tinggalkan?."
"Engkau" umum ayahnya, sambil menaikkan jari telunjukkan dan menunjuk tepat ke arah Tengo. "Bukankah ia kelihatan jelas? Aku telah mengisi vakum yang dicipta oleh orang lain, jadi kau akan mengisi vakum yang aku cipta."
"Sama seperti kucing yang mengisi pekan selepas orang-orang disitu tiada."
"Betul" kata ayahnya. Dia kemudian merenung jari telunjuknya seolah-olah ianya adalah satu objek yang asing dan misteri.
Tengo mengeluh. "Jadi, siapa dia ayah saya?"
"Dia hanyalah vakum. Ibu engkau mencantumkan badannya dengan satu vakum dan melahirkan kau. Aku mengisi vakum itu."
Selepas berkata begitu, ayahnya menutup mata dan mulutnya.
"Dan ayah membesarkan saya selepas ibu pergi. Adakah itu yang ayah maksudkan?"
Selepas melegakan tekaknya, ayahnya berkata seolah-olah seperti sedang cuba menjelaskan kebenaran mudah kepada seorang kanak-kanak yang lembab, "Itu lah sebab kenapa aku kata, 'Jika kau tak boleh memahami sesuatu tanpa sebarang penjelasan, kau tak boleh memahaminya dengan satu penjelasan.' "
Tengo menyilangkan tangannya di peha dan melihat terus ke wajah ayahnya. Lelaki ini bukan cengkerang kosong, fikirnya. Dia adalah manusia berdarah daging dengan jiwa yang sempit dan degil, dan hidup dalam kemarahan di tempat bersebelahan laut ini. Tengo tiada pilihan lain kecuali wujud bersama dengan vakum yang perlahan-lahan merebak dalam dirinya dan vakum itu akan menelan apa sahaja memori yang tinggal. Ia terserah kepada masa dan waktu.
Tengo mengucapkan selamat tinggal kepada ayahnya tidak berapa lama sebelum pukul 6:00 petang. Ketika dia menunggu teksi untuk datang, mereka berdua duduk bersebelahan antara satu sama lain ditepi tingkap tanpa berkata apa-apa. Tengo mempunyai banyak lagi soalan untuk ditanya, tetapi dia tahu dia tidak akan mendapat sebarang jawapan. Ia jelas kelihatan pada wajah ayahnya yang mengatup bibirnya dengan rapat. Jika kau tak boleh memahami sesuatu tanpa sebarang penjelasan, kau tak boleh memahaminya dengan satu penjelasan. Seperti yang dikatakan oleh ayahnya.
Bila masa untuk dia beredar hampir tiba, Tengo berkata, "Ayah memberitahu banyak perkara kepada saya hari ini. Ia tidak jelas dan amat susah untuk difahami, tetapi ayah mungkin telah sedaya upaya ayah mengatakannya secara jujur dan terbuka. Saya patut bersyukur tentang itu."
Ayahnya masih tidak berkata apa-apa. Matanya tetap memandang pemandangan didepannya seperti seorang askar yang sedang berkawal dan bersungguh-sungguh untuk tidak mahu terlepas isyarat cahaya yang dihantar oleh puak orang asli di bukit yang jauh. Tengo cuba melihat pemandangan yang diperhatikan ayahnya, tetapi apa yang kelihatan hanyalah pokok-pokok pain yang dibayangi oleh cahaya matahari senja yang makin hampir.
"Saya minta maaf, selain daripada mengharapkan proses mewujudkan vakum didalam diri ayah bukan proses yang menyakitkan, tiada apa-apa yang lain yang saya boleh buat untuk ayah. Saya tahu ayah banyak menderita. Ayah mencintai ibu sedalam mungkin sepertimana yang ayah tahu. Saya merasakan begitu. Tetapi dia meninggalkan ayah, dan ia tentu tamparan yang hebat kepada ayah. Ayah seperti hidup di pekan yang kosong. Tetapi ayah masih membesarkan saya di pekan yang kosong itu."
Sekawanan burung gagak melintasi langit sambil menggaok. Tengo bangun dan pergi ke arah ayahnya, dan meletakkan tangannya di bahu ayahnya. "Selamat tinggal ayah. Saya akan datang melawat ayah semula tidak berapa lama lagi."
Dengan tangannya di tombol pintu, Tengo memusingkan badannya untuk kali terakhir dan dia terkejut kerana ternampak satu titik air mata mengalir dari mata ayahnya. Ia menyinarkan warna kelabu lesu dibawah lampu kalimantang di siling. Air mata itu perlahan-lahan mengalir menuruni pipi dan jatuh di riba ayahnya. Tengo membuka pintu dan meninggalkan bilik tersebut. Dia mengambil sebuah teksi untuk ke stesyen dan menaiki semula keretapi yang membawanya ke tempat ini.
***
Ini merupakan terjemahan bahasa Melayu untuk bab Town Of Cats dari novel IQ84 tulisan Haruki Murakami. Terjemahan ini merupakan terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Jay Rubin.
Baca terjemahan Pekan Kucing (Bahagian Satu) di SINI
Baca terjemahan Pekan Kucing (Bahagian Dua) di SINI
Baca terjemahan Pekan Kucing (Bahagian Tiga) di SINI
Baca terjemahan Pekan Kucing (Bahagian Empat) di SINI
Baca terjemahan Pekan Kucing (Bahagian Dua) di SINI
Baca terjemahan Pekan Kucing (Bahagian Tiga) di SINI
Baca terjemahan Pekan Kucing (Bahagian Empat) di SINI
Sumber gambar: google image