Sekarang tiba giliran ayah Haida pula untuk diam. Tiada sebarang kata yang dia mampu ucapkan.
"Saya tidak menghidapi penyakit atau apa-apa," kata Midorikawa. "Saya sangat sihat. Dan saya tidak berniat untuk membunuh diri, jika itu yang kamu fikirkan. Kamu boleh bertenang."
"Habis tu macam mana kamu tahu kamu hanya ada sebulan sahaja lagi untuk hidup?"
"Ada seseorang yang memberitahu saya. Kamu hanya ada dua bulan sahaja lagi untuk hidup, kata dia. Itu berlaku sebulan yang lalu."
"Siapakah orang yang tergamak berkata seperti itu?"
"Dia bukan seorang doktor atau tukang tilik. Dia hanya orang biasa. Tetapi dia juga sedang menunggu mati ketika itu."
Ayah Haida cuba merasionalkan perkara ini tetapi dia tidak dapat berfikiran dengan logik.
"Kemudian adakah kamu... datang kesini mencari tempat untuk mati?"
"Kamu boleh berkata begitu."
"Saya masih tak faham. Adakah apa-apa cara yang boleh kamu lakukan untuk mengelak kematian?"
"Ada satu cara." kata Midorikawa. "Saya boleh memindahkannya kepada orang lain seperti satu token. Maksudnya kamu perlu mencari seseorang untuk mati bagi pihak kamu. Ia seperti memberi baton kepada orang itu, dan memberitahunya "baiklah, sekarang giliran kamu" dan kamu pun beredar. Buat begitu dan saya boleh mengelak kematian untuk seketika." Tetapi saya tidak bercadang untuk berbuat begitu. Saya sudah memikirkan tentangnya agak lama dan saya sebenarnya mahu mati dengan cepat. Mungkin itu sebenarnya apa yang saya perlukan."
"Jadi kamu fikir dalam keadaan kamu sekarang, adalah lebih baik untuk kamu mati?"
"Hidup ketika ini amat melemaskan saya. Saya tiada masalah untuk mati sekarang. Saya tiada tenaga untuk keluar dan mencari kaedah lain yang boleh menolong mengambil nyawa saya. Tetapi saya boleh menerima kematian dengan senyap."
"Tetapi bagaimana sebenarnya kamu memindahkan token kematian ini kepada orang lain?"
Midorikawa mengangkat bahunya seolah-olah dia tidak peduli. "Ia mudah saja. Orang itu perlu memahami apa yang saya katakan dan memberikan sepenuh kerelaan dan bersetuju untuk mengambil token tersebut. Baru selepas itu pemindahan tersebut selesai. Perjanjian tersebut boleh dibuat dengan mulut. Secara bersalaman pun boleh. Tidak perlu tandatangan apa-apa dokumen bersil atau kontrak atau apa-apa. Ia bukan satu perkara yang birokratik."
Ayah Haida menganggukkan kepala. "Tapi tak mungkin semudah itu nak mencari seseorang yang sanggup menerimanya daripada kamu kalau mereka perlu mati awal."
"Itu hujah yang masuk akal," kata Midorikawa. "Kamu tak boleh menyatakan idea ini kepada sesiapa sahaja. Memang mustahil untuk pergi mendekati seseorang dan berbisik, "Maafkan saya, bolehkan awak mengambil alih tempat saya untuk mati?" Kamu perlu berhati-hati dengan siapa yang kamu pilih. Disinilah keadaan menjadi agak rumit."
Midorikawa perlahan-lahan memerhatikan sekeliling bilik dan berdehem untuk melegakan tekaknya.
"Setiap orang mempunyai warna mereka sendiri. Kamu tahu tak?" kata Midorikawa.
"Tak, saya tak tahu."
"Setiap orang mempunyai warna unik mereka sendiri yang bersinar lemah disekeliling kontur badan mereka. Sama seperti cahaya halo. Atau cahaya latar. Saya boleh melihat warna-warna itu dengan jelas."
Midorikawa menuangkan segelas lagi sake kedalam gelasnya dan menghirupnya secara perlahan-lahan untuk menikmati rasa sake itu.
"Adakah kamu dilahrikan dengan kebolehan untuk mengesan cahaya ini?" tanya ayah Haida dengan ragu-ragu.
Midorikawa menggelengkan kepalanya. "Tak, ia bukan kebolehan semulajadi. Ianya hanya kebolehan sementara. Kamu boleh mendapatkan kebolehan ini tetapi kamu perlu mati awal dan ianya akan diwarisi dari seorang ke seorang yang lain. Buat masa sekarang, saya dipilih untuk memegangnya."
Ayah Haida diam seketika. Tiada kata-kata keluar dari mulutnya.
"Ada warna-warna yang saya sangat suka didunia ini," kata Midorikawa, "dan warna-warna yang saya benci. Warna yang menyenangkan, warna sedih. Ada orang yang mempunyai warna yang begitu pekat dan ada yang memiliki warna yang lembut. Kadang-kadang ia meletihkan kerana kamu terpaksa melihat semua warna ini walaupun kamu tidak mahu melihatnya. Kerana itu saya tidak suka berada dalam kelompok orang yang ramai. Kerana itu juga saya berada ditempat terpencil ini."
Ayah Haida masih tidak faham tentang apa yang dimaksudkan oleh Midorikawa. "Jadi apa yang kamu cuba katakan adalah kamu tahu apa warna saya?"
"Sudah tentu tetapi saya tidak akan beritahu apa warna kamu," kata Midorikawa. "Apa yang saya perlu lakukan sekarang adalah mencari seseorang yang mempunyai warna dan sinarannya yang tersendiri. Orang-orang sebegini sahaja yang boleh menerima token kematian dari saya. Saya tak boleh memindahkannya sesuka hati."
"Adakah terdapat ramai orang yang mempunyai warna dan sinaran seperti itu?"
"Tak ramai. Saya rasa mungkin satu dalam seribu, atau dua ribu. Susah untuk menjumpai orang-orang seperti ini tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil. Apa yang lebih susah adalah mencari peluang untuk duduk dan berbincang dengan mereka secara serius. Kamu sendiri boleh bayangkan betapa susahnya melakukan perkara itu."
"Tetapi jenis macam manakah orang-orang ini? Orang yang sanggup mati untuk orang yang mereka tidak kenali?"
Midorikawa tersenyum. "Orang jenis macam mana? Saya pun tak boleh nak jawab. Apa yang saya tahu, mereka mempunyai warna mereka sendiri, warna yang bersinar dari tubuh badan mereka. Itu hanya ciri-ciri luaran. Jika saya boleh mengandaikannya - dan ini hanya pendapat peribadi saya - saya merasakan mereka adalah orang-orang yang sanggup menerima cabaran. Saya yakin ada banyak sebab kenapa mereka sanggup menerima cabaran."
"Baiklah, katakan mereka sanggup menerima cabaran, tetapi apakah cabarannya?"
Midorikawa diam seketika. Dalam suasana yang sunyi itu, air gunung yang mengalir di sungai kedengaran jelas. Akhirnya dia tersengih.
"Ketika itulah tibanya masa untuk saya membuat tawaran."
"Itu yang saya mahu dengar." kata ayah Haida.
(Bersambung)
***
Ini merupakan terjemahan bahasa Melayu "Haida's Story" dari novel Colorless Tsukuru Tazaki And His Years Of Pilgrimage tulisan Haruki Murakami. Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Philip GabrielBaca terjemahan Cerita Haida (Bahagian Satu) di SINI
Baca terjemahan Cerita Haida (Bahagian Dua) di SINI
Sumber gambar: google image