Kita mungkin biasa mendengar tempat-tempat yang dipilih oleh UNESCO sebagai tempat warisan dunia, tetapi mungkin ramai yang tidak tahu bahawa UNESCO juga memilih bandar sastera dunia. Apakah kriteria yang diperlukan oleh sebuah bandar untuk dipilih menjadi bandar sastera?
Mengikut maklumat dari laman sesawang UNESCO, antara kriteria yang melayakkan sesebuah bandar dipilih menjadi bandar sastera adalah apabila terdapatnya perpustakaan, kedai buku dan pusat budaya awam dan swasta yang aktif dalam memelihara dan mempromosi sastera samada tempatan ataupun sastera antarabangsa. Selain itu, UNESCO turut mengambil kira usaha aktif sektor penerbitan sesebuah tempat dalam menterjemah karya-karya sastera dari pelbagai bahasa.
Setakat hari ini, UNESCO telahpun melantik atau memilih tujuh buah bandar di seluruh dunia sebagai bandar sastera. Bandar yang terpilih adalah seperti berikut.
Reykjavik, Iceland
Reykjavik, Iceland
Bandar Reykjavik mempunyai tradisi kesusateraan yang sangat hebat dan memiliki warisan kesusateraan yang sangat bernilai. Tidak hairan tradisi kesusateraan mereka secara semulajadi membuatkan bandar ini mempunyai pendidikan, perkembangan dan promosi sastera yang sangat mantap. Walaupun hanya mempunyai lebih kurang 200,000 penduduk, sastera sudah menjadi rutin harian bagi penduduk-penduduk di sini. Ini ditambah lagi dengan sokongan daripada kerajaan Iceland sendiri yang membuatkan penduduk-penduduk di sini aktif dalam aktiviti sastera dan kebudayaan.
Kegahan Edinburgh sebagai pusat kesusasteraan memang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Pemilihan bandar ini sebagai bandar sastera adalah berdasarkan aktiviti-aktiviti kesusasteraannya disamping menjadi tempat berlangsungnya majlis hadiah sastera yang cukup terkenal iaitu Hadiah Man Booker. Edinburgh juga memiliki alumni penulis-penulis terkenal seperti Sir Arthur Conan Doyle, Sir Walter Scott dan Robert Louis Stevenson.
Melbourne merupakan bandar kedua yang dipilih sebagai bandar sastera. Melbourne memang dikenali sebagai pusat kebudayaan di Australia dan memiliki banyak kedai-kedai buku persendirian dan kecil-kecilan disamping partisipasi aktif penduduknya dalam aktiviti-aktiviti sastera dan kebudayaan.
Norwich sebenarnya sudah menjadi pusat sastera dan kebudayaan hampir 900 tahun.Buktinya, Norwich adalah bandar pertama yang menguatkuasakan Akta Perpustakaan Awam pada tahun 1850. Universiti East Anglia di Norwich juga menjadi universiti pilihan utama untuk mereka yang ingin mendapatkan ijazah sarjana dalam penulis kreatif di mana antara penulis yang pernah menuntut di sini adalah pemenang Hadiah Man Booker seperti Kazuo Ishiguro, Ian McEwan dan Anne Enright.
Sejak tahun 1955, graduan dan fakuliti Universiti Iowa telah memenangi lebih daripada 25 Hadiah Pulitzer dalam bidang sastera. Iowa juga melahirkan ramai penulis hebat seperti Flannery O’Connor, Wallace Stegner dan Kurt Vonnegut Jr. Kehebatan bandar ini sebagai pusat kesusateraan juga boleh dilihat menerusi jumlah pengunjung perpustakaan awamnya di mana bilangan pengunjugnya melebihi jumlah penduduk Iowa sendiri.
Krakow memang tidak dinafikan lagi sebagai sebuah bandar yang meraikan sastera. Ia bukan sahaja sering mengadakan pesta buku dan juga festival sastera dan kebudayaan, malah turut melahirkan dan menjadi rumah kepada penerima Hadiah Nobel Sastera seperti Czeslaw Milosz dan Wislawa Szymborska.
Dublin dipilih sebagai bandar sastera pada tahun 2010. Bandar ini mempunyai warisan kesusasteraan yang begitu kaya dan diakui di seluruh dunia dan sastera masih memainkan peranan penting dalam kehidupan penduduk-penduduk Dublin. Dublin juga melahirkan empat penerima Hadiah Nobel iaitu George Bernard Shaw, W.B. Yeats, Seamus Heaney dan Samuel Beckett.
***