Lebih kurang beberapa bulan sahaja lagi, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan secara rasmi. Perlaksanaan GST ini akan menggantikan dua jenis cukai yang sudah sedia ada iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan. Namun begitu, timbul tanda tanya samada GST akan turut memberi kesan kepada harga buku secara keseluruhannya. Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar baru-baru ini menggesa kerajaan supaya mengenakan GST sifar ke atas semua buku dan tidak menghadkannya kepada buku teks, buku latihan, kamus dan buku kanak-kanak sahaja kerana ia mungkin akan mengelirukan orang ramai dan terdedah kepada salah guna akibat kekeliruan pengelasan buku.
Dalam mendepani isu ini, mungkin kita boleh belajar dari kerajaan Perancis yang telah meluluskan satu rang undang-undang baru-baru ini yang diberi nama jolokan "undang-undang anti-Amazon" yang bertujuan untuk melindungi mereka yang menjual buku secara kecil-kecilan dan sudah tentunya pembaca buku sendiri. Melalui undang-undang ini, penjual buku atas talian tidak dibenarkan memberi tawaran penghantaran percuma untuk buku-buku yang telah diberikan diskaun. Undang-undang ini juga merupakan sebahagian daripada usaha Perancis untuk membantu peniaga buku persendirian dan kecil-kecilan untuk bersaing.
Kawalan terhadap harga buku sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru di Perancis. Pada tahun 1981, satu undang-undang telah diluluskan yang dikenali sebagai "undang-undang Lang" sempena nama menteri kebudayaan Perancis ketika itu, Jack Lang. Melalui undang-undang ini, penjual buku tidak dibenarkan untuk memberi diskaun melebihi 5 peratus dari harga yang dipaparkan pada kulit buku-buku baru. Ini bermakna buku-buku yang dijual di Perancis dijual pada harga yang lebih kurang sama di mana sahaja samada di kedai buku atau buku yang dijual di atas talian.
Kawalan terhadap harga buku ini juga bukanlah satu perkara yang pelik kerana banyak negara telah melakukan perkara yang sama. Sebagai contoh, penjual-penjual buku di Jerman tidak dibenarkan untuk memberi diskaun hampir untuk kesemua buku yang mereka jual. Negara-negara yang memiliki pasaran buku yang besar seperti Itali, Sepanyol dan Korea Selatan juga mempunyai undang-undang harga buku mereka yang tersendiri.
Undang-undang buku di Perancis sebenarnya bukan sahaja dipengaruhi oleh ekonomi tetapi juga pandangan dunia orang Perancis sendiri. Secara mudahnya, orang Perancis sangat memuja buku. Lebih kurang 70 peratus orang Perancis menyatakan mereka membaca sekurang-kurangnya sebuah buku pada tahun lepas. Purata buku yang dibaca oleh orang Perancis adalah 15 buah buku setahun. Ini juga menjelaskan kenapa kerajaan Perancis mengelaskan buku sebagai "barang keperluan", sama seperti elektrik, roti dan air.
***
Sumber: MalaysiaKini / New York Times / French Civil Service
Sumber gambar: google image