Fiksyen tentang kehidupan di bawah pemerintahan tirani selalunya sampai kepada pembaca di barat selepas kejatuhan sesebuah regim. Pada hari ini, novel melankoli tulisan Yuri Trifonov tentang Soviet Rusia atau gambaran Herta Muller tentang ketakutan hidup yang dihadapi setiap hari di bawah pemerintahan Ceausescu di Romania membolehkan kita untuk menilai kesan spiritual dari pemerintahan totalitarianisme yang sejarahnya dilupakan. Trifonov meninggal dunia pada tahun 1981 tetapi 25 tahun selepas berkuburnya komunisme, tetapi Muller terus menjadi popular. Jadi keyakinan kita bahawa penindasan akhirnya akan dapat diatasi tetap kekal kukuh. Penerima Hadiah Nobel Sastera dari China, Mo Yan pula menyajikan kita dengan cabaran yang berbeza kerana melalui novel ke 11 tulisannya berjudul Frog menyedarkan kita bahawa sistem yang bertanggungjawab terhadap penderitaan yang dialami oleh karekter-karekternya masih wujud sehingga ke hari ini.
Membaca novel Yan menjadi bertambah rumit kerana apabila mengetahui bahawa beliau merupakan ahlli Parti Komunis dan beliau dilabel oleh ramai penentang kerajaan komunis China termasuk Ai Wei Wei sebagai "penulis kerajaan". Muller menyatakan bahawa Hadiah Nobel yang diterima oleh Mo Yan sebagai "satu tamparan kepada mereka yang bekerja keras untuk menegakkan demokrasi dan hak asasi manusia." Walaubagaimanapun, novel Frog menunjukkan bahawa Yan bukanlah seorang yang tidak kritikal terhadap kerajaan China. Ini mungkin kedengaran agak mengelirukan tetapi bab pembukaan novel yang hanya mempunyai seorang pencerita bernama Xiapao ini yang sudah cukup untuk membuatkan seseorang berfikir panjang.
Terjemahan novel ini oleh Howard Goldblatt membuatkan penceritaan oleh Mo Yan nampak lancar dan tenang. Frog menggambarkan tentang respon individu terhadap perubahan yang berlaku di China sejak setengah abad yang lalu. Xiapao bercerita tentang zaman kanak-kanaknya di mana dia terpaksa memakan arang ketika krisis kebuluran pada tahun 1960an. Tetapi pada masa yang sama, Xiapao turut bercerita tentang makciknya yang bernama Gugu yang bertugas sebagai seorang ginekologi yang menyambut kelahiran lebih 1600 orang bayi pada pertengahan tahun 1950an. Pada ketika itu, kelahiran bayi digalakkan kerana Mao Zedong percaya bahawa memiliki populasi yang besar adalah baik. Gugu merasakan bahawa ketika itu adalah zaman emas China moden dan juga zaman emas beliau sendiri. Tetapi selepas tahun 1979, beliau terpaksa melaksanakan polisi satu anak dan beliau menyelia beribu-ribu proses pengguguran bayi di daerah terpinggir bernama Gaomi di mana novel ini mengambil tempat.
Mo Yan turut menggambarkan detik-detik ngeri beberapa orang wanita termasuk isteri Xiapao yang meninggal dunia ketika melakukan proses pengguguran bayi. Terdapat satu kejahatan banal yang mekanikal tentang Gugu yang menyatakan bahawa polisi satu anak adalah sumbangan terbesar China kepada dunia. Percanggahan yang jelas boleh dilihat pada masyarakat yang diasaskan melalui kesaksamaan tetapi pada masa yang sama sangat obses dengan status. Tetapi seperti juga demokrasi kapitalis, tubuh wanita adalah seperti medan perang. Lelaki akan berasa gundah apabila isteri mereka melahirkan anak perempuan. Jadi mereka akan memaksa isteri mereka untuk melanggar undang-undang dalam usaha terdesak mereka untuk mendapatkan waris lelaki.
Memasuki tahun 2008, Gaomi telah berubah menjadi lambang kemakmuran China yang baru di mana tiada apa yang tidak boleh dibeli dengan duit. Xiapao yang sudah berumur 50 tahun berkahwin semula dan sedang menulis skrip drama pentas yang diilhamkan dari kisah-kisah benar. Xiapao percaya Gugu mempunyai perasaan bersalah yang amat menderitakan kerana terpaksa memaksa wanita menggugurkan kandungan mereka. Tetapi beliau membuat kesimpulan bahawa "jika Gugu tidak melakukannya, orang lain pula akan melakukannya." Peleraian novel ini iaitu bila Xiapao dan isterinya membayar ibu tumpangan untuk melahirkan anak lelaki mereka sangat mengelirukan dan panjang dan membuatkan novel Frog menjadi pemberat kepada syak wasangka bahawa Hadiah Nobel diberikan atas sebab politik dan juga artistik. Kita sentiasa mahu merasakan tulisan seseorang penulis menuju kepada kebenaran tetapi ketegaran ideologi menghalang Mo Yan untuk berbuat sedemikian.
Sumber gambar: google image
***
Ini adalah terjemahan ulasan novel Frog oleh Max Liu yang diterbitkan oleh The Independent pada 21hb November 2014. Teks asal dalam bahasa Inggeris boleh dibaca di SINISumber gambar: google image