Satu surat yang mengilhamkan Jack Kerouac untuk menulis novel tersohornya On the Road yang dipercayai hilang telah ditemui semula selepas 60 tahun. Surat yang mengandungi 16,000 patah perkataan ini ditulis oleh Neal Cassady ketika dia bawah pengaruh dadah.
Selepas membaca surat ini, Kerouac dikatakan membuang deraf awal On the Road untuk membolehkan dia meniru gaya penulisan spontan Cassady. Surat ini pada asalnya pada asalnya dipercayai hilang ketika Allen Ginsberg meminjamkannya kepada seorang rakannya yang tinggal di rumah sampan di Utara California. Kerouac menyangkakan surat ini telah terjatuh ke dalam air. Kerouac menyatakan jika surat ini tidak hilang, sudah pasti Cassady akan menjadi seorang penulis yang tersohor.
Hakikatnya, Allen Ginsberg tidak menghilangkan surat ini. Sebaliknya dia cuba menerbitkan surat ini dengan menghantarnya kepada syarikat penerbitan Golden Goose Press di San Francisco. Surat ini ditemui semula oleh anak perempuan pemilik syarikat muzik yang berkongsi pejabat dengan syarikat penerbitan Golden Goose Press dan beliau menyimpan kesemua manuskrip dari pejabat syarikat penerbitan ini ketika syarikat ini ditutup.
Surat yang dikenali dengan nama "The Joan Anderson Letter" sempena seorang wanita yang pernah menjalin hubungan dengan Cassady bakal dilelong pada 17hb Disember ini. Tidak dapat dipastikan berapakah nilai sebenar surat ini.
***
Sumber: The Independent
Sumber gambar: google image