Sebuah syarikat penerbitan di Amsterdam yang dikenali sebagai Uitgeverij Prometheus baru-baru ini telah melancarkan aplikasi talifon pintar yang mengandungi diari Anne Frank dalam bahasa asalnya. Diari Anne Frank yang pernah diterbitkan ke dalam bahasa Inggeris menggunakan tajuk "The Diary of a Young Girl" masih menjadi antara buku terlaris di dunia sehingga sekarang.
Aplikasi dalam bahasa Belanda ini menampilkan versi diari Anne Frank yang telah disunting dan diterbitkan oleh bapanya, Otto Frank yang berkisar tentang kisah bagaimana mereka bersembunyi di bandar Amsterdam yang ketika itu dikuasai oleh tentera Nazi sebelum mereka ditangkap dan dihantar ke kem kosentrasi di Jerman. Namun begitu, Uitgeverij Prometheus menyatakan aplikasi ini turut mengandungi versi yang tidak disunting.
Aplikasi ini turut mengandungi susur masa interaktif yang mengandungi foto dari perang dunia ke dua dan juga kawasan di mana keluarga Anne Frank bersembunyi. Di samping itu, terdapat juga video wawancara bersama Miep Gies yang membantu keluarga Anne Frank bersembunyi. Lebih menarik lagi, aplikasi ini turut mengandungi buku Audio "The Diary of a Young Girl".
Ini merupakan aplikasi versi kedua diari Anne Frank yang diterbitkan. Sebelum ini, aplikasi sama telah diterbitkan dalam bahasa Inggeris.
***
Sumber: Haaretz