Jepun memang terkenal dengan tradisi kesusasteraannya dan memiliki ramai penulis tersohor seperti Kenzaburo Oe, Yasunari Kawabata dan sekarang Haruki Murakami. Tetapi anda mungkin tidak menyangka bahawa sebuah buku yang menyatakan tentang kepentingan mengurut betis adalah buku paling popular di Jepun untuk tahun ini dan diikuti dengan sebuah buku yang penuh dengan gambar kucing berserta petikan-petikan inspirasi.
Megikut senarai kedudukan buku paling laris yang diterbitkan oleh syarikat penjual buku Nippon Shuppan Hanbai Inc, buku tulisan Takako Maki bertajuk "Nagaiki Shitakerya Fukurahagi wo Mominasai" merupakan buku paling laris di Jepun untuk tahun 2014 dan telah terjual sebanyak 1 juta naskah sejak ia diterbitkan pada bulan Jun 2013. Buku setebal 199 mukasurat ini berkisar tentang kepintangan mengurut betis dan bagaimana ia boleh mengurangkan tekanan darah dan mengurangkan sakit kaki dan belakang.
Buku kedua terlaris untuk tahun 2014 pula adalah sebuah buku bertajuk "Jinsei Wa Nyantoka Naru" iaitu buku yang dipenuhi dengan gambar kucing berserta petikan-petikan inspirasi. Buku ini telah terjual sebanyak 792 ribu naskah sejak ia diterbitkan pada bulan Oktober 2013. Buku ini merupakan sambungan kepada buku bertajuk "Jinsei Wa One Chance" yang memiliki konsep yang sama tetapi menampilkan gambar anjing.
***
Sumber: Wall Street Journal