Pada tahun 1961, pereka kelahiran Poland bernama Romek Marber telah menghasilkan satu rekaletak grid untuk kulit buku Penguin yang kemudiannya menjadi antara rekaletak yang paling mendapat pujian dan penghargaan sepanjang zaman. Rekaletak oleh Romer Marber ini kini dikenali sebagai "grid Marber".
Soalannya sekarang, apakah sebenarnya grid Marber dan apakah inspirasi di sebalik rekaannya ini? Sebelum kehadiran rekaan oleh Romek Marber ini, buku-buku terbitan Penguin kebanyakannya mempunyai rekaan kulit muka depan tipografi yang mudah. Walaupun terdapat cadangan supaya Penguin tampil dengan rekaan yang lain, kesemuanya telah ditolak tetapi akhirnya pada tahun 1961, pengarah seni Penguin ketika itu iaitu Germano Facetti mengupah Marber untuk mereka kulit buku tulisan Simeon Potter bertajuk Language in the Modern World's and Our Language. Antara sebab utama Facetti memilih Marber adalah kerana beliau tertarik dengan rekaan Marber untuk majalah The Economist. Facetti yang begitu tertarik dengan rekaan Marber turut memintanya untuk mencadangkan rekaan baru untuk siri novel fiksyen jenayah mereka.
![]() |
Rekaan Romek Marber untuk majalah The Economist |
Marber menggalas tugas barunya dengan penuh berhati-hati. Beliau terpaksa mengambilkira bahawa rekaan kulit buku untuk novel fiksyen jenayah terbitan Penguin hampir tidak pernah berubah hampir 25 tahun lamanya. Tambahan lagi, novel fiksyen jenayah terbitan Penguin adalah antara buku yang amat popular. Beliau memilih untuk mengekalkan rona hijau mengikut rekaan asal tetapi memilih latar belakang yang lebih segar.
Dengan menggabungkan kesemua maklumat tipografi dan kolofon bersama pada bahagian atas kulit depan buku, ia membolehkan dua pertiga dari ruang kulit depan buku digunakan untuk meletakkan ilustrasi dan memberi ruang ilustrasi tersebut untuk menarik perhatian pembaca dan sudah tentunya untuk menjual buku.
Facetti begitu kagum dengan rekaan oleh Marber yang menyebabkan beliau turut menggunakan rekaan-rekaan oleh Marber untuk novel fiksyen terbitan Penguin yang lain. Akhirnya, rekaletak Marber ini menjadi rekaletak asas untuk kesemua novel kulit lembut terbitan Penguin.
Rekaletak oleh Marber ini memang tidak ditelan zaman. Pereka-pereka kontemporari masih memuja Marber dan cuba meniru rekaannya dan Penguin sudah tentunya perlu berterima kasih kepada Marber kerana hampir semua orang boleh mengecam buku-buku terbitan Penguin hanya berdasarkan kulit muka depannya.
***
Sumber: Eye Magazine
Sumber gambar: google image