Pada setiap bulan November, beratus ribu penulis menyertai Bulan Menulis Novel Kebangsaan (NaNoWriMo) dengan satu tujuan iaitu untuk menulis sebuah novel yang mengandungi sekurang-kurangnya 50,000 patah perkataan dalam tempoh masa sebulan. Tetapi untuk edisi tahun ini dan tahun lepas pula, beberapa individu kreatif menggunakan kaedah berbeza untuk menulis novel mereka. Mereka tidak menghabiskan masa dan memerah tenaga mereka sendiri untuk menulis novel, sebaliknya mereka menggunakan komputer yang telah di kod untuk menulis novel bagi pihak mereka.
Mengambil inspirasi daripada NaNoWriMo, satu acara khas yang dikenali sebagai National Novel Generation Month atau NaNoGenMo diwujudkan untuk para pengatucara komputer menulis kod yang membolehkan sesebuah komputer menulis novel untuk mereka.
Pada tahun lepas hasil yang mereka perolehi adalah skrip komputer yang berterabur dan robotik. Tetapi ada beberapa novel yang ditulis oleh komputer telah diterbitkan termasuk sebuah novel hasil usaha seorang professor dari MIT bernama Nick Montfort.
Memang diakui bahawa novel yang ditulis oleh komputer ini tidaklah begitu tersusun dan koheren tetapi banyak juga novel yang ditulis oleh manusia yang berbentuk sebegitu. Memandangkan NaNoGenMo masih diperingkat awal, sama-samalah kita menanti hasil penulisan yang dihasilkan oleh komputer ini pada tahun-tahun yang akan datang.
***
Sumber: Smithsonian Mag