Kebolehan membaca adalah aset paling berharga untuk kita. Penciptaan alat cetak membolehkan buku dicetak dalam skala yang besar dan membuka laluan kepada zaman pencerahan. Ketika Eropah masih berada di zaman gelap, tamadun-tamadun lain melalui zaman kegemilangan dan kebolehan membaca dan menulis merupakan tunjang utama mereka.
Sains membaca adalah sangat baru dan kurang diketahui oleh mereka yang berada di luar lingkungan komuniti saintifik. Otak manusia dahulunya seperti kotak hitam tetapi kini banyak perkara mengenainya mula terbongkar. Kita sudah mula memahami bagaimana cara kita membaca dan belajar dan apakah yang berlaku dalam otak kita ketika kita melakukan aktiviti ini.
Jadi apa sebenarnya yang berlaku dalam otak kita ketika kita membaca? Menurut Stanislas Dehaene dalam buku terbarunya bertajuk Reading in the Brain: The New Science of How We Read, beliau menyatakan bahawa mata kita mengimbas perkataan-perkataan di dalam sesuatu mukasurat secara berulang-ulang. Setiap empat atau lima kali sesaat, mata kita akan mampu mengecam satu atau dua perkataan.

Bahagian tengah retina mata kita yang dikenali sebagai fovea mempunyai resolusi yang cukup untuk mengecam cetakan perkataan yang kecil. Neuron pada retina akan membahagikan setiap perkataan kepada beberapa bahagian kecil dan ianya perlu dicantumkan semula untuk membolehkan ia dicamkan. Dua laluan pemprosesan serentak yang utama iaitu laluan ponologikal dan leksikal akan menukar perkataan kepada bunyi percakapan dan memberi akses kepada kamus mental untuk memahami makna sesuatu perkataan.

Bahagian tengah retina mata kita yang dikenali sebagai fovea mempunyai resolusi yang cukup untuk mengecam cetakan perkataan yang kecil. Neuron pada retina akan membahagikan setiap perkataan kepada beberapa bahagian kecil dan ianya perlu dicantumkan semula untuk membolehkan ia dicamkan. Dua laluan pemprosesan serentak yang utama iaitu laluan ponologikal dan leksikal akan menukar perkataan kepada bunyi percakapan dan memberi akses kepada kamus mental untuk memahami makna sesuatu perkataan.
Satu-satunya bahagian retina yang berguna dalam proses membaca adalah fovea yang meliputi lebih kurang 15 darjah daripada keseluruhan darjah penglihatan kita. Ini menerangkan kenapa kita perlu membaca dan memahami beberapa patah perkataan sebelum kita bergerak ke perkataan seterusnya yang mana proses ini menurut Dehaene dikenali sebagai "sakad". Mata manusia boleh mengecam sekita sepuluh hingga dua belas perkataan setiap sakad. Selepas itu mata manusia tidak lagi menjadi sensitif terhadap perkataan-perkataan di luar sakad ini.
Tujuan utama manusia membaca menurut Dehaene adalah untuk menyalurkan makna sesuatu perkataan ke otak kita. Apabila kita membaca, dua laluan pemprosesan informasi akan bekerjasama. Apabila terdapat perkataan yang asing dan jarang digunakan, kita akan menggunakan laluan ponologikal untuk memahami pautan-pautan perkataan dan menukarkannya kepada sebutan dan cuba untuk mengakses maksud corak bunyian yang mungkin wujud. Tetapi jika perkataan tersebut adalah perkataan biasa, kita akan menggunakan laluan terus yang akan mengecam identiti dan maksud perkataan sebelum menggunakan maklumat leksikal untuk mendapatkan sebutannya.
Walaupun penerangan Dehaene ini mungkin agak rumit untuk dihadam, tetapi harapnya dengan perkembangan sains pada masa akan datang akan membuatkan kita lebih memahami sains di sebalik aktiviti membaca.
***
Ini merupakan terjemahan ringkasan ulasan buku Reading in the Brain: The New Science of How We Read oleh Omar Ismail yang diterbitkan oleh Seeking Intellect pada 18hb November 2014. Teks asal dalam bahasa Inggeris boleh dibaca di SINI