Pada 04hb Julai 1862, ahli matematik dan logik Inggeris Charles Dodgson menaiki sebuah bot bersama beberapa orang rakan. Antara yang turut serta dalam bot tersebut adalah seorang kanak-kanak perempuan bernama Alice Liddell. Sepanjang menyusuri sungai di antara Oxford dan Godstow, Dodgson menghiburkan Alice dan kakaknya dengan menyampaikan cerita-cerita pelik untuk mereka.
Tiga tahun kemudian, Dodgson menerbitkan buku Alice In Wonderland dengan menggunakan nama pena Lewis Carroll dan bukunya menjadi antara buku kanak-kanak yang paling digemari di seluruh dunia sehingga ke hari ini.
Disamping cerita yang menghiburkan terutamanya kepada kanak-kanak, buku Alice In Wonderland juga mengandungi ilustrasi-ilustrasi yang menarik. Bermula dengan ilustrasi asal dari Sir John Tenniel, Alice In Wonderland kini memiliki beratus ilustrasi dari pelukis seluruh dunia. Maria Popova dari Brainpickings telah memilih antara beberapa ilustrasi menarik dari buku Alice In Wonderland untuk rujukan bersama. Berikut adalah antara ilustrasi pilihan beliau.
Lisbeth Zwerger
Lisbeth Zwerger berasal dari Austria dan ilustrasi karya beliau pernah diterbitkan di dalam buku seperti The Wizard of Oz dan The Selfish Giant karya Oscar Wilde. Menurut Popova, apa yang membuatkan ilustrasi Zweger begitu menarik adalah keupayaannya untuk menterjemahkan cerita ke dalam bentuk ilustrasi yang begitu lembut dan merangsang imaginasi.
Ralph Steadman
Ralph Steadmen terkenal dengan ilustrasinya untuk novel The Animal Farm karya George Orwell dan kerjasama beliau dengan Hunter S. Thompson. Tetapi 20 tahun sebelum itu, beliau turut menyumbangkan ilustrasinya untuk Alice In Wonderland.
Tove Jansson
Pada tahun 1959, Tove Jonsson telah diupah untuk menghasilkan ilustrasi bagi Alice In Wonderland edisi bahasa Sweden yang kini begitu sukar sekali untuk ditemui. Penerbit buku ini ketika itu, Ake Runnquist merasakan Tove Jansson adalah individu paling sesuai kerana beliau pernah menghasilkan ilustrasi untuk sebuah lagi buku Lewis Carroll iaitu The Hunting of the Snark.
Leonard Weisgard
Salah satu edisi ilustrasi berwarna Alice In Wonderland adalah edisi tahun 1949 yang dihasilkan oleh Leonard Weisgard. Maria Popova menyatakan bahawa ianya adalah karya ikonik yang tidak ditelan zaman.
***
Sumber: Brainpickings