Soalan yang masih menjadi sumber kejengkelan buat Kim Gordon walaupun selepas 30 tahun bermain sebagai pemain bass untuk Sonic Youth adalah "Bagaimanakah rasanya menjadi seorang perempuan di dalam kumpulan muzik?"
Apapun, ia adalah soalan yang dijawab dengan panjang lebar oleh beliau dalam memoir terbarunya yang turut menceritakan tentang kehidupan awalnya di pinggir bandar California, zaman awalnya bersekolah di sekolah seni dan karier beliau sebagai artis visual. Gordon turut menyentuh tentang beban yang dipikul oleh pemuzik wanita yang menceburi karier muzik yang didominasi oleh lelaki.
Beban ini bukan sahaja datang daripada orang lain, malah dari dirinya sendiri. Beliau sentiasa perlu memikirkan tentang bagaimana untuk mempersembahkan dirinya di atas pentas. Beban inilah yang menjengkelkan beliau tetapi pada masa yang sama turut menarik beliau dan beban inilah yang memberikan kuasa kepada seorang wanita di dalam sebuah kumpulan muzik.
Kadang-kadang memoir Gordon turut mengandungi kisah-kisah lucu. Beliau tidak langsung berselindung untuk bercerita tentang bagaimana beliau bekerjasama dengan Courtney Love dan membandingkan Courtney Love dengan sifat narsisis dan sociopathic adik Gordon sendiri yang bernama Keller. Gordon juga begitu lucu apabila bercerita tentang Billy Gordon yang beliau nyatakan sebagai seorang yang manja.
Pada bahagian lain, terdapat pengaruh memoir Patti Smith terutamanya ketika Gordon bercerita tentang zaman awalnya yang penuh kepayahan sebagai seorang artis visual pada penghujung tahun 1970an. Seperti Smith, Gordon juga pernah bekerja di kedai buku dan restoran untuk menampung hidupnya. Beliau juga pernah bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah galeri seni yang memperkenalkan beliau kepada Julian Schnabel dan Jeff Koons. Tidak seperti pemuzik yang lain, Gorodn percaya bahawa seni adalah segala-galanya samada tarian, pakaian, lukisan atau muzik. Sikap terbuka beliau inilah yang beliau persembahkan dalam memoir beliau.
Memoir beliau turut bercerita tentang hubungan peribadi beliau yang paling terkenal iaitu bersama rakan sekumpulan iaitu Thurston Moore. Perpisahan mereka pada tahun 2011 turut menandakan tamatnya Sonic Youth.
***
Ini adalah terjemahan ringkas ulasan buku oleh Fiona Sturges yang diterbitkan oleh The Independent pada 14hb Februari 2015. Teks asal dalam bahasa Inggeris boleh dibaca di SINI