Bilakah kali terakhir anda menikmati hamam meshwi (merpati panggang) yang merupakan menu yang biasa dijumpai di negara Mesir? Ataupun pergi ke Oslo, Norway untuk menikmati sarapan udang segar? Keberangkaliannya anda mungkin tidak pernah melakukannya. Walaubagaimanapun, ucapan terima kasih harus diberikan kepada bekas pengkritik restoran di New York Times dan penyumbang artikel di Smithsonian iaitu Mimi Sheraton yang kini tampil dengan buku terbarunya 1,000 Foods to Eat Before You Die dan sudah tentunya menambah senarai makanan yang anda perlu cuba.
Buku yang diilhamkan dari buku tulisan Partcia Shultz bertajuk 1,000 Places To See Before You Die ini mengandungi 1,000 makanan yang perlu dicuba termasuk senarai restoran, pasar dan pesta makanan. Sheraton turut menulis tentang sejarah dan konteks budaya makanan, bagaimana untuk menyediakan beberapa jenis makanan dan beberapa dozen resepi untuk dicuba. Sheraton menghabiskan lebih 10 tahun daripada kariernya sepanjang 60 tahun sebagai penulis tentang makanan untuk menyiapkan buku ini dan buku ini boleh dikatakan sebagai penghargaan kepada kepelbagaian seni masakan dan makanan.
Untuk memuatkan senarai makanan yang enak di seluruh dunia ke dalam sebuah buku bukanlah satu tugas yang mudah. "Saya bermula dengan 180 senarai makanan yang kemudiannya saya perlu kecilkan" kata Sheraton. Salah satu matlamat utama Sheraton adalah untuk menunjukkan rasa hormat yang sama kepada semua jenis makanan dari pelbagai negara. "Saya boleh memenuhkan buku ini dengan makanan-makanan dari Amerika, Perancis dan Itali dengan mudah tetapi saya mahu menampilkan secara menyeluruh apa yang dimakan oleh orang di seluruh dunia" kata Sheraton lagi.
Sheraton tidak menyusun bukunya mengikut negara sebaliknya beliau memilih untuk menyusunnya mengikut geografi rasa dan gaya masakan makanan tersebut. Sebagai contoh, gula-gula epal diletakkan di bawah tajuk "American and Candian" manakala leberwurst pula diletakkan di bawah tajuk German, Austrian, and Swiss."
Hubungan antara makanan dan pengembaraan memang tidak boleh disangkal dan buku 1,000 Foods ini juga sudah tentunya berfungsi sebagai buku pengembaraan. "Bagi saya, makanan membantu untuk menerangkan tentang sesuatu tempat" kata Sheraton. "Ia bukan sahaja membawa saya lebih dekat dengan orang yang menyediakan makanan tersebut, tetapi saya turut merasai pengalaman bagaimana ianya disediakan dan sebagainya."
***
Sumber: Smithsonian