Korea Selatan memang terkenal dengan eksport kumpulan-kumpulan K-Pop, drama dan filemnya. Namun begitu, Korea Selatan juga sebenarnya memiliki sejarah sastera yang panjang yang telah bermula sejak terciptanya tulisan Hanja pada kurun ke 12.
Secara puratanya, penduduk Korea Selatan membaca 9 buah buku setahun. Namun seperti kebanyakan negara lain, Korea Selatan juga bergelut untuk menyemai budaya membaca terutamanya pada zaman moden ini yang dikuasai oleh televisyen, permainan video dan internet. Jadi apakah cara yang boleh digunakan untuk menyemai minat membaca? Salah satu caranya adalah dengan menggunakan rancangan hiburan realitinya. Rancangan hiburan realiti Korea Selatan memang cukup terkenal. Sebut sahaja rancangan hiburan realiti seperti Running Man atau Muhan Dojeon, pasti ramai yang mengetahuinya.
Baru-baru ini, salah satu rancangan hiburan realiti Korea Selatan iaitu The Human Condition (Hangul: 인간의 조건) telah tampil dengan episod tentang buku. Rancangan The Human Condition pada asasnya menampilkan konsep eksperimen sosial terutamanya tentang isu semasa di Korea Selatan. Sebagai contoh, ahli tetap rancangan ini akan diminta untuk hidup beberapa hari tanpa air, hidup dengan wang yang sedikit, hidup dengan hanya melakukan kerja separuh masa dan sebagainya.
Pada permulaannya episod, para ahli dalam rancangan ini diminta untuk menulis tajuk 25 buah buku yang mereka tahu dan kemudian diberi kuiz tentang buku dan sastera bagi mendapatkan wang perbelanjaan. Selepas itu mereka diberi misi untuk mendapatkan cadangan bahan bacaan dari orang awam dan orang-orang yang telah dipilih.
Jadi apakah kesudahan misi mereka dan kenapa mereka melakukan misi tersebut? Untuk mengetahui jawapannya, anda boleh menonton episod tersebut di bawah.