Sebelum ini kita telahpun melihat beberapa buah hotel bertemakan buku. Kali ini kita akan melihat lagi beberapa hotel yang menggunakan tema yang sama untuk menarik pengunjung.
Berikut adalah beberapa hotel yang telah dikompilasikan oleh Kelley Jensen.
Eloise
The Plaza Hotel, New York, Amerika
Ketika Anthony Melchiorri mula bekerja sebagai pengurus muda di Plaza Hotel, seorang kanak-kanak perempuan datang dan bertanya tentang Eloise. Eloise merupakan watak terkenal dalam dunia sastera kanak-kanak dan kisah Eloise mengambil tempat di Plaza Hotel di mana Elosie tinggal di tingkat paling atas. Atas sebab itu, maka wujudlah bilik hotel khas untuk peminat Eloise. Hotel ini juga menawarkan pakej lawatan di mana pengunjung boleh menikmati klip-klip Eloise kegemaran mereka, menikmati teh dan pelbagai lagi.
Crime and Punishment
Radisson Sonya Hotel, St. Petersburg, Rusia
Terdapat sebuah hotel butik di St. Petersburg, Rusia yang keseluruhannya direka berdasarkan novel klasik tulisan Fyodor Dostoyevsky’s iaitu Crime and Punishment. Hotel ini menyatakan bahawa ianya bertujuan untuk menarik pengunjung ke era dan tempat cerita tersebut ditulis dan mencipta perasaan seolah-olah pengunjung berada di masa itu.
The Wizard Chambers
The Georgian House, London, England
Siapa yang tidak mahu tinggal di bilk hotel yang bertemakan Harry Potter di London? The Wizard Chambers dihiasi dengan tema gotik seperti botol air sihir dan hotel ini juga terletak tidak jauh daripada tempat lawatan rasmi Harry Potter.
The Common Hotel
Minneapolis, Amerika
Hotel ini mungkin kelihatan biasa dari luarnya tetapi apa yang mungkin ramai orang tidak tahu adalah terdapatnya sebuah perpustakaan yang cantik di dalam hotel ini. Tambah menarik lagi, terdapat juga pelayan yang akan menghantar buku ke bilik anda jika anda mahukan sesuatu untuk dibaca.
Apostrophe Hotel
Paris, Perancis
Adakah anda pernah mendengar tentang hotel puisi? The Apostrophe memanggil diri mereka sebagai hotel besar yang sebenarnya adalah sebuah puisi.
The Hobbit Motel
Otorohanga, New Zealand
Jika hidup seperti Hobbit adalah impian anda, maka tempat ini mungkin sesuai untuk anda. Anda bukan sahaja dapat memenuhi impian anda hidup seperti watak dalam dunia Lord of the Rings, anda mungkin juga akan teruja menemui keldai di bumbung ketika anda bangun pada waktu pagi.
Sylvia Beach Hotel
Oregon, Amerika
Keseluruhan hotel ini direka menggunakan tema buku dan sastera. Terdapat 3 jenis bilik yang anda boleh diami iaitu bilik "Classics" seperti Mark Twain and Agatha Christie; “Best Sellers” seperti Alice Walker, Jane Austen dan Shakespeare; dan juga “Novels,” seperti Jules Verne dan Oscar Wilde.
Wonderland House
East Sussex, England
Sudah tentu terdapatnya hotel yang bertemakan Alice in Wonderland. Hotel mewah ini terletak di persisiran pantai dan menampilkan hiasan yang sudah tentunya mengujakan setiap peminat Alice.
***
Sumber: Book Riot