Pengkritik terbaik seorang penulis selalunya adalah diri mereka sendiri. Namun bagaimana pula jika pengkritik tersebut adalah Salman Rushdie yang bukan sahaja penulis yang cukup tersohor, malah turut dilanda kontroversi terutamanya ketika terbitnya novel beliau berjudul The Satanic Verses.
Baru-baru ini timbul sedikit kekecohan apabila Rushide memberikan rating kepada beberapa novel terkenal di laman sesawang Goodreads. Dalam rating yang beliau berikan, beliau hanya memberikan satu bintang kepada novel Lucky Jim tulisan Kingsley Amis dan tiga bintang kepada novel To Kill a Mocking Bird tulisan Harper Lee.
Rating yang diberikan oleh Salman Rushdie mengundang kritikan beberapa pengguna Goodreads sendiri tetapi Rushdie enggan memberikan penjelasan tentang rating yang beliau beri. Rushdie menyatakan beliau menjangkakan rating yang diberikan hanya boleh dilihat oleh beliau seorang sahaja dan beliau tidak menyangka ianya boleh dilihat oleh pengguna Goodreads yang lain. "Apapun, saya memang tidak menyukai karya Kingsley Amis. Saya tidak perlu menerangkan kenapa. Ia dibenarkan" tulis Rushide.
Rushdie turut menyatakan kemudiannya beliau sebenarnya hanya bermain-main sahaja dan sedang bereksperimen dengan laman sesawang Goodreads. "Jangan ambil serius rating yang saya berikan" kata Rushdie.
***
Sumber: The Independent