"Aku tidak tahu bagaimana untuk menulis surat cinta," tulis Frida Kahlo pada tahun 1946. "Tetapi aku ingin beritahu engkau bahawa keseluruhan diri aku terbuka untuk engkau. Sejak aku jatuh cinta dengan kau, semuanya bertukar dan menjadi penuh dengan keindahan... cinta adalah seperti aroma, seperti arus, seperti hujan."
Seniman tersohor kelahiran Mexico ini bukan menulis surat cinta kepada Diego Rivera yang menjadi suaminya ketika itu. Surat cinta ini ditulis untuk Jose Bartoli yang merupakan seorang seniman dan pelarian politik yang berpindah ke New York selepas melepaskan diri dari kekejaman perang saudara di Sepanyol. Kahlo dan Bartoli bertemu ketika Kahlo sedang memulihkan diri dari satu pembedahan untuk merawat kecederaan yang dialaminya ketika berusia 18 tahun. Selepas Kahlo pulang ke Mexico, mereka berdua menjalinkan hubungan rahsia dan bertukar-tukar surat selama beberapa tahun yang menyentuh tentang lukisan-lukisan Kahlo, kesihatannya dan perhubungannya dengan Rivera.
Kini, dua puluh lima daripada surat tersebut yang ditulis di antara bulan Ogos 1946 dan November 1949 bakal dilelong pada 15 April ini di Doyle New York. Surat-surat ini disimpan oleh Bartoli sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1995 dan kemudian diwarisi oleh keluarganya. Surat-surat ini dijangka akan berjaya dijual sehingga mencecah harga 120,000 Dollar Amerika. Berikut adalah beberapa surat tersebut untuk tatapan anda.
***
Sumber: The Huffington Post