Kadar buta huruf di Indonesia semakin berkurangan tetapi terdapat satu kawasan di mana terdapat lebih sejuta orang dewasa yang masih tidak mampu membaca. Di Jawa Tengah, terdapat seorang lelaki yang cuba meningkatkan akses kepada buku dengan menggunakan kuda yang bernama Luna. Luna dijaga oleh Ridhwan Sururi dari kampung Serang di daerah Purbalingga di Pulau Jawa.
Bermula Januari lalu, Ridhwan mula menggerakkan perpustakaan kudanya dengan membawa buku yang disimpan di dalam kotak dan diletakkan di belakang Luna. Beliau akan melawat sekolah-sekolah sebanyak tiga kali seminggu dan kadang-kadang Ridhwan turut membawa anaknya iaitu Indriani Fatmawati. Kanak-kanak dan penduduk kampung tidak perlu membayar apa-apa untuk meminjam buku dan Ridhwan sendiri tidak pernah berhasrat untuk mendapatkan apa-apa pulangan wang dari usahanya.
Idea untuk mewujudkan perpustakaan kuda ini datang dari sahabat Ridhwan iaitu Nirwan Arsuka yang juga merupakan seorang peminat kuda. Ridhwan pada asalnya tidak memiliki sebarang buku dan Nirwan telah menghantar berkotak-kotak buku kepada beliau.
Ridhwan juga mengalu-ngalukan sesiapa sahaja untuk menyumbang buku dan beliau turut berharap satu hari beliau mampu membina perpustakaannya sendiri di hadapan rumah beliau.
***
Sumber: BBC