Untuk melakukan sesuatu terjemahan buku, apa yang diperlukan bukan sahaja masa, malah ia juga perlukan dana dan mendapatkan dana bukanlah satu perkara yang mudah. Salah satu kaedah yang begitu popular sekarang adalah mendapatkan dana secara "crowdfunding" (dana dari orang awam) dengan menggunakan platform Kickstarter dan sebagainya dan beberapa projek terjemahan yang mengumpul dana sebegini membuktikan bahawa ia boleh dilakukan malah memberikan hasil.
Berikut adalah beberapa contoh projek terjemahan yang berjaya dilakukan dengan menggunakan dana dari orang awam.
Translating Pow Pow Press
Syarikat penerbitan yang beroperasi di Montreal ini berjaya mengumpul dana sebanyak RM74,000.00 daripada 410 orang penyokong untuk menterjemahkan komik-komik mereka dari bahasa Perancis ke Bahasa Inggeris.
A Bird is Not a Stone
Projek terjemahan ini membabitkan terjemahan koleksi puisi dari Palestin ke bahasa Scotland. Seramai dua dozen penyajak terlibat untuk menterjemahkan koleksi puisi ini. Projek ini berjaya mengumpul dana sebanyak RM20,700.00 daripada 118 orang penyokong.
Settled Wanderers
Penyajak Sam Berkson telah mengembara ke Sahara Barat untuk mengumpul dan menterjemah puisi. Seramai 51 orang penyokong telah menyumbang dana sebanyak RM7,800.00.
Clarkesworld: Chinese Science Fiction Translation Project
Projek ini melibatkan terjemahan karya-karya sains fiksyen dari China. Sebanyak 473 orang penyokong telah menyumbang dana sebanyak RM48,000.00.