Wikipedia bolehlah dikatakan sebagai sumber rujukan pantas pada zaman moden ini. Malah ada yang menggunakan Wikipedia sebagai sumber rujukan akademik. Namun seperti yang semua orang tahu, Wikipedia hanya berfungsi sebagai sumber rujukan atas talian yang berbeza seperti ensiklopedia tradisional yang digunakan pada satu ketika dahulu. Persoalannya sekarang, bolehkah Wikipedia dicetak seperti buku dan jika jawapannya adalah ya, berapa banyak bukukah yang diperlukan untuk mencetak keseluruhan maklumat yang terdapat di dalam Wikipedia?
Itulah persoalan yang cuba dijawab oleh Michael Mandiberg melalui eksibisi seni terbarunya berjudul "Print Wikipedia" yang diadakan di Galeri Seni Denny.
Melalui eksibisi ini, orang ramai boleh melihat bagaimana keseluruhan maklumat yang terdapat di dalam Wikipedia akan dimuat naik ke dalam Lulu.com yang mana ia dijangka akan mengambil masa selama 11 hingga 14 hari. Maklumat-maklumat yang terpilih pula akan dipersembahkan di dalam eksibisi ini.
Dinding di Galeri Seni Denny akan menayangkan tulang buku Wikipedia sebanyak 1980 jilid dan sebanyak 106 jilid juga akan dicetak di mana setiap satunya mengandungi sekitar 700 mukasurat.
***
Sumber: New York Times