Menentukan buku pertama yang dicetak di dunia memang sukar. Terdapat pelbagai versi dan kekeliruan tentang maksud "cetak" itu sendiri. Tetapi persoalan tentang buku berwarna yang pertama dicetak di dunia mungkin tidak menimbulkan sebarang isu.
Sebuah buku yang dikenali dengan nama Shi zhu zhai shu hua pu (Manual Kaligrafi dan Lukisan) pertama kali diterbitkan pada tahun 1633 di Nanjing dikatakan merupakan buku berwarna pertama yang dicetak di dunia. Buku ini mengandungi 8 kategori yang antaranya adalah burung, plum, orkid, buluh dan lain-lain. Buku ini secara keseluruhannya mengandungi ilustrasi daripada 50 orang pelukis dan ahli kaligrafi.
Buku ini merupakan contoh buku terawal yang diketahui dicetak menggunakan pelbagai warna. Antara teknik yang digunakan untuk menghasilkan buku ini adalah penggunaan beberapa blok pencetak yang diletakkan pelbagai warna untuk mencetak kertas yang menghasilkan cetakan seolah-olah seperti catan air.
Sejak bertahun lamanya, set lengkap buku ini disimpan di Cambridge University Library dan ia sangat jarang dipamerkan kerana keadaannya fizikalnya yang agak rapuh dan dikhuatiri akan mengalami kerosakan jika ia dikendalikan oleh terlalu ramai orang.
***
Sumber: Hyper Allergic