"Walaupun pistol ada di tangan aku, tapi tak ada sebutir pun peluru membunuh anggota tentera dan polis. Sebaliknya akulah yang terkena hujan peluru mereka!"
Inilah ayat terbaik yang terkandung dalam buku Memoir Shamsiah Fakeh : Dari AWAS Ke Rejimen Ke-10. Catatan tentang episod perjuangannya ditulis oleh Shamsiah pada 1991 sewaktu hidup berkelana di China pasca perjuangan kemerdekaan di tanah air.
Membesar dalam masyarakat Melayu yang konservatif, acap kali saya terdengar tuduhan bahawa komunis anti-Tuhan atau setidak-tidaknya, tidak mempercayai tuhan. Dalam perihal Shamsiah, dia turut digambarkan sebagai seorang pembengis yang tidak teragak-agak untuk membunuh termasuklah anaknya yang masih bayi. Lebih teruk lagi, gerakan gerila ini juga sering disinonimkan dengan kekejaman dan sifat kebinatangan atau "devilish monsters" (Saya harap istilah ini tidak keterlaluan).
Semua tanggapan tadi telah dijawab dengan jelas dan terperinci oleh Shamsiah dalam memoirnya.
Bahagian awal buku ini menjelaskan betapa Shamsiah Fakeh sebenarnya merupakan seorang yang amat arif akan ilmu agama. Menurutnya, beliau mendapat pendidikan agama secara formal di beberapa institusi pendidikan Islam yang diasaskan oleh ulama terkemuka termasuklah di sebuah sekolah di Sumatera. Ramai yang tidak tahu bahawa Shamsiah Fakeh berkebolehan menterjemah kesemua 30 juzu' kitab suci Al-Quran. Saya sendiri pernah terdengar Shamsiah dibahasakan sebagai "Ustazah". Setelah menekuni penerangannya di dalam buku ini berkaitan latar belakang pendidikannya, maka tidak hairanlah beliau dipanggil sedemikian. Secara peribadinya, saya merasakan gelaran ustazah itu amat sesuai dengan sosoknya yang didasari ilmu agama yang mendalam. Maka, tidak wajar jika label anti-tuhan dilemparkan kepada beliau tanpa mempertimbangkan fakta ini.
Seperti yang kita sedia maklum, jarang sekali Shamsiah Fakeh ditonjolkan sebagai tokoh emansipasi wanita. Namun, peranan beliau dalam membebaskan fikiran kaum wanita dan mengangkat taraf pemikiran tadi ke tahap yang lebih tinggi takkan sekali-kali dapat dibisukan oleh sejarah. Menerusi memoirnya, Shamsiah menceritakan bagaimana beberapa kali dia dizalimi suami yang tidak bertanggungjawab dan itu merupakan titik-tolak yang membawa kepada kesedaran berkaitan hak-hak wanita yang perlu dipelihara. Penceritaannya berkaitan hal ini menggambarkan realiti hodoh yang menimpa kaum wanita pada zamannya yang tidak terdedah kepada penghakupayaan atau "empowerment". Saya berani katakan seawal 1940-an lagi Shamsiah telah memperjuangkan satu kepercayaan yang mirip kepada feminisme. Hal ini terbukti dengan keberkesanan Shamsiah mengangkat perjuangan kaum wanita dalam menentang kesombongan imperialis sekaligus mencoretkannya sebagai salah satu perjuangan yang signifikan pada kanvas sejarah kemerdekaan. Kejayaan-kejayaan Shamsiah sebagai tokoh wanita yang progresif diceritakan secara terperinci dalam beberapa bab buku ini yang menyentuh tentang peranan AWAS dan lain-lain.
Tuduhan-tuduhan seperti yang dinyatakan dalam perenggan ketiga tadi kebanyakannya dijawab dalam bab yang menghuraikan tentang perjuangan bersenjata beliau bersama Rejimen Ke-10 di belantara Pahang. Saya jamin setiap pembaca pasti akan merasa seolah-olah tangkai jantung mereka direntap kesayuan tatkala membaca penjelasan Shamsiah Fakeh berkaitan tuduhan bahawa beliau membunuh bayinya di belantara negeri itu. Pada masa sama, terbit rasa kagum membaca rentetan peristiwa yang dihadapi Shamsiah sewaktu bersama bayinya di tengah-tengah belantara dan kecekalannya melalui keadaan seperti itu. Pembaca juga pasti akan insaf dengan kenyataan bahawa kasih seorang ibu akan selamanya berkekalan dan utuh; seperti dakwat-dakwat termahal pada lukisan yang paling berkualiti.
Malah, saya turut tertarik dengan strategi berkesan yang diguna pakai oleh Rejimen Ke-10 dalam memastikan mereka memperoleh sokongan yang jitu daripada rakyat tempatan. Ini dapat dibaca dengan lebih lanjut dalam huraian Shamsiah Fakeh berkaitan strategi penyusunan massa. Selain itu, tidak rugi jika pembaca memahami disiplin ketat dan nilai-nilai moral yang mengikat anggota Rejimen Ke-10 sepanjang perjuangan mereka yang melarang keras perbuatan memperkosa, merampas tanaman, biadab kepada orang tua dan beberapa nilai lain yang tidak perlu disebutkan di sini. Wajib saya nyatakan juga bahawa pengalaman Shamsiah dan pasukannya yang dihujani peluru dari muncung senapang milik tentera penjajah dalam beberapa siri serangan hendap turut menarik perhatian.
Walau bagaimanapun, saya kurang tertarik dengan pengalaman Shamsiah dan suaminya, Ibrahim sewaktu berkelana ke China. Mungkin kerana pada peringkat ini, Shamsiah lebih banyak terlibat dengan program-program yang direncanakan parti dan perjuangannya tidak seradikal perjuangan di tanah air.
Secara keseluruhannya, buku ini adalah bahan bacaan yang amat baik bagi mereka yang sukakan penjelasan sejarah dari sudut pandang yang berbeza. Lebih-lebih lagi, ia ditulis sendiri oleh individu yang terlibat secara langsung dengan perjuangan kemerdekaan. Buku ini juga dilengkapi sedutan temuramah dan puluhan foto yang membantu pembaca untuk memahami fakta dan penceritaan Shamsiah Fakeh.
p/s: Apabila disebut "Shamsiah Fakeh", fikiran saya akan menyahut namanya dengan perkataan "srikandi!".
***
Ulasan buku ini adalah sumbangan @AhmadBoes (http://www.twitter.com/ahmadboes)