Mempopularkan sesebuah perpustakaan bukanlah satu hal yang mudah. Perpustakaan tidak boleh hanya bergantung kepada koleksi-koleksi bukunya sahaja, tetapi mereka juga perlu bekerja keras untuk mempromosi perpustakaan mereka supaya dikenali dan dikunjungi oleh orang ramai kerana apalah gunanya sesebuah perpustakaan jika tiada siapa berminat untuk datang. Atas dasar inilah, Deschutes Library mengambil langkah yang proaktif untuk berhubung dengan masyarakat setempat.
Deschutes Library yang memiliki enam cawangan tidak sekadar menggunakan kaedah pemasaran tradisional seperti menggunakan suratkhabar, surat dan sebagainya. Sebaliknya mereka turun untuk bersama masyarakat. Mereka mengunjungi kedai kopi, kawasan parkir dan sebagainya. Mereka juga membuka perpustakaan mereka sehingga lewat malam untuk membolehkan para pengunjung datang.
Deshutes Library juga menawarkan pelbagai aktiviti: pameran seni, kelab buku, bacaan umum, kelas komputer, kelas seni mempertahankan diri dan pelbagai lagi program komuniti untuk pelbagai peringkat umur.
Formula kejayaan Deschutes Library cukup mudah: kenali pelanggan anda, dekati masyarakat, ambil tahu keperluan mereka dan berikan penyelesaian dan sudah tentu juga mereka perlu mempunyai semangat untuk berbakti kepada masyarakat.
***
Sumber: The Atlantic