Dalam zaman moden ini, salah satu perkara biasa yang dilakukan untuk mengabadikan majlis perkahwinan adalah dengan merakam video majlis tersebut. Justeru itu, tidak hairanlah jika ada yang cuba untuk menghasilkan sesuatu yang lain daripada yang lain pula.
Buktinya adalah pasangan dari Scotland yang mahu menghasilkan novel perkahwinan mereka pula. Emily Fletcher, seorang bekas pelumba kereta dari Edinburgh mendapat idea ini ketika beliau membuat persiapan untuk majlis perkahwinannya dengan Graeme Crossley.
Selepas membuat pertanyaan dengan sebuah kumpulan penulis, penulis Jenny Harper telah diupah untuk "menovelkan" majlis perkawinan Fletcher yang berlangsung di hotel mewah Greywalls berdekatan Edinburgh.
Pada mulanya, Jenny Harper agak ragu-ragu untuk menerima tugasan menulis novel ini kerana beliau kurang pasti bagaimana untuk melakukannya. Namun selepas berbincang dengan Fletcher, beliau mula mendapat idea bagaimana untuk melakukannya. Hasilnya, Jenny Harper telah menemuramah Fletcher dan pasangannya dan juga meletakkan kad ulasan di meja tetamu untuk mendapatkan apa-apa maklumat daripada tetamu mengenai Fletcher dan pasangannya.
Sama-sama kita nantikan apakah hasil novel yang bakal diterbitkan ini.
***
Sumber: Herald Scotland