Pelbagai jenis sambutan dibuat bagi meraikan buku tetapi anda mungkin tidak tahu bahawa terdapatnya hari khas untuk meraikan penyeludup buku.
Di Lithuania, penyeludup buku yang dikenali dengan nama knygnešys memainkan peranan penting dalam penentangan Lithuania terhadap penyatuan ke dalam empayar Rusia satu ketika dulu. Penyeludup buku ini memainkan peranan dengan menyeludup buku yang ditulis menggunakan huruf Latin kepada penduduk-penduduk Lithuania di kawasan-kawasan empayar Rusia dan menentang arahan pengharaman terhadap buku-buku sebegini yang dikuatkuasakan dari tahun 1866 hingga 1904. Penentangan mereka menjadi simbol penentangan rakyat Lithuania terhadap penyatuan dengan Rusia.
Pengharaman ini diangkat selepas didapati ia tidak mendatangkan sebarang kesan. Tarikh 16hb Mac dipilih sebagai tarikh untuk mengingati sejarah ini dan ia juga adalah sempena tarikh lahir Jurgis Bielinis yang merupakan antara salah seorang yang memainkan peranan menyeludup buku ketika itu. Satu patung juga telah dibina di bandar Kaunas sempena menghargai para penyeludup buku ini.
***
Sumber: Mental Floss