Jika anda memiliki edisi pertama novel seperti Animal Farm (George Orwell), Ulysses (James Joyce) atau novel-novel James Bond seperti Casino Royale, sudah tentu anda akan berasa gembira dengan berita ini. Satu indeks harga terbaru novel-novel klasik kurun ke 20 menunjukkan bagaimana harga novel-novel edisi pertama ini meningkat sejak sepuluh tahun yang lalu.
Mengikut Indeks Buku Langka 30 buku edisi pertama yang disusun oleh Stanley Gibbons yang berasal dari London, novel edisi pertama The Great Gatsby tulisan F Scott Fitzgerald dikatakan paling mahal di mana harganya mencecah £246,636. Novel The Hobbit pula menduduki tempat kedua dengan harga £65,420. Novel klasik Ulysses yang berada di tempat ketiga pula berharga £24,557.
Novel edisi pertama yang dikatakan melalui peningkatan yang cukup mendadak adalah novel Animal Farm tulisan George Orwell. Pada tahun 1990an, ianya hanya berharga lebih kurang £200 tetapi kini harganya mencecah £5,000.
Walaupun begitu, indeks harga ini turut diragui oleh sesetengah penjual buku langka yang lain kerana menurut mereka, harga ini sebenarnya bergantung kepada ketulenan edisi pertama tersebut dan menurut mereka, harganya juga bergantung kepada asal-usulnya. Sebagai contoh, jika buku tersebut dihadiahkan atau ditujukan kepada seseorang, maka harganya akan bernilai lebih tinggi.
***
Sumber: The Guardian