Anne Frank merupakan gadis remaja Yahudi-Jerman yang terpaksa bersembunyi ketika Nazi menawan Amsterdam, Belanda ketika Holocaust. Tidak lama selepas beliau menerima sebuah diari sempena hari lahirnya yang ke 13, beliau mula membuat catatan pada 14 Jun 1942 dan beliau terus mencatat apa yang dirasakannya ketika keluarganya dan empat lagi pelarian bersembunyi di belakang sebuah rak buku di ruang loteng yang tersembunyi di bangunan pejabat ayahnya.
Catatan yang dibuat oleh beliau ditulis dalam bentuk surat kepada beberapa orang rakan imaginasinya dan beliau juga menggunakan nama samaran untuk melindungi identiti pelarian dan sahabat yang ada bersamanya ketika itu. Sama seperti gadis remaja yang lain, Anne juga berhadapan dengan perasaannya yang bercampur-baur tentang keluarganya dan juga lelaki yang disukainya, dan juga perkembangan fikirannya tentang hidup. Tetapi kedalaman dan kehebatan penulisannya yang digabungkan dengan optimisme dikala menghadapi dugaan membuatkan catatannya menjadi harta sejarah dan sastera yang sangat bernilai.
"Saya tertanya samada saya telah membuang semua prinsip hidup saya," tulisnya tidak lama sebelum beliau ditahan,
Ia nampak pelik dan tidak praktikal. Tetapi saya masih berpegang terhadapnya kerana saya masih percaya, walaupun dengan mengambilkira apa yang saya lalui, bahawa manusia sebenarnya mempunyai hati yang baik... Saya lihat dunia perlahan-lahan bertukar menjadi hutan belantara, saya mendengar bunyi kilat yang semakin dekat yang, suatu hari nanti, akan memusnahkan kita juga, saya merasai penderitaan berjuta-berjuta orang yang lain. Tetapi, apabila saya melihat ke langit, entah kenapa saya berasa semuanya akan menjadi baik dan kekejaman ini akan berakhir, dan keamanan dan kedamaian akan muncul semula.
Anne terpaksa menghabiskan dua tahun dan satu bulan bersembunyi sebelum kumpulannya dikhianati dan dihantar ke kem konsentrasi. Dari lapan orang yang bersembunyi di loteng, hanya ayahnya sahaja yang berjaya terus hidup. Anne meninggal dunia akibat penyakit tifus pada bulan Mac 1945. Beliau ketika itu baru berusia lima belas tahun.
Rakan keluarganya kemudian mengambil diari ini yang disimpan di loteng dan menyerahkannya kepada ayah Anne selepas perang tamat. Selepas membacanya, Otto Frank memeliharanya dengan menerbitkannya.
Diari pertama diterbitkan di Amsterdam pada tahun 1947 dan kemudiannya diterbitkan pula di Amerika dan United Kingdom dengan menggunakan tajuk Anne Frank: The Diary of a Young Girl in 1952. Popularitinya yang begitu luas membuatkan ianya menjadi ilham drama pentas yang hebat dan juga filem.
Sehingga kini, buku ini telah terjual lebih 30 juta salinan dan diterjemahkan ke 67 bahasa. Manuskrip asalnya diwariskan kepada Netherlands Institute for War Documentation untuk simpanan.
***
Sumber: Smithsonian Mag