Walaupun diperintah oleh kerajaan kuku besi, ia tidak bermakna perkembangan buku di sesebuah negara akan terbantut. Buktinya, fiksyen jenayah dan novel pengintipan kini menjadi semakin popular di Korea Utara di mana naskah-naskah haram boleh disewa mengikut jam di pasaran gelap.
Menurut sumber yang dipercayai, buku-buku sebegini dianggap subversif oleh pemerintah dan hanya disewakan kepada pembaca-pembaca yang identiti mereka telah disahkan. Kebanyakan pelanggan yang menyewa buku sebegini adalah dari kalangan pelajar yang membayar 3,000 Won Korea Utara untuk setiap jam.
Menurut sumber yang sama, pasaran gelap untuk novel-novel dari negara luar memang telah lama wujud tetapi hanya baru-baru ini buku-buku "subversif" sebegini mula wujud. Kebanyakannya adalah novel-novel dari Jepun yang mengandungi deskripsi tentang operasi pengintipan.
Kebanyakan buku yang wujud di Korea Utara adalah buku-buku terbitan rasmi Pemerintah untuk tujuan propaganda manakala buku-buku politik klasik antarabangsa kebanyakannya beredar di pasaran gelap.
![]() |
Akhbar propaganda dalam bahasa Inggeris yang dimiliki Pemerintah Korea Utara |
Pada awalnya, buku-buku di pasaran gelap ini digunakan oleh penulis, jurnalis dan guru tetapi kini ia turut digunakan dan dibaca oleh pelajar universiti. Kebanyakan buku adalah buku yang telah diterjemah dan dicetak oleh pelajar yang menuntut dalam jurusan pengajian bahasa asing. Ramai daripada mereka adalah anak-anak orang atasan yang boleh menggunakan pengaruh ibu-bapa mereka untuk membolehkan mereka mengakses buku-buku dari negara luar. Selepas mereka mendapat buku-buku ini, mereka akan menterjemahkannya dan menjualnya di pasaran gelap.
Walaupun begitu, tidak banyak buku yang dapat disewakan kerana kesemua komputer dan alat cetak di Korea Utara wajib didaftar dengan Bahagian Keselamatan Negara untuk mengawal pengedaran apa-apa penerbitan yang berbentuk anti-kerajaan. Untuk mengelakkan kegiatan mereka dikesan, mereka akan mencetak buku dengan menggunakan tajuk-tajuk yang kabur atau tajuk dari novel-novel Korea Utara. Buku-buku ini biasanya dikenali sebagai buku Jepun kerana tajuk asalnya hanya diketahui oleh pelajar yang menterjemah buku-buku ini.
***
Sumber: The Guardian