Sabtu, 20 Jun, 1942
Kitty yang disayangi!
Biar saya terus mula; sekarang keadaan baik dan tenang. Ayah dan Ibu keluar dan Margot pergi bermain ping pong dengan beberapa orang sahabatnya di Pondok mereka. Kebelakangan ini saya pun banyak bermain ping pong. Kami bermain dengan kerap sehingga kami berlima menubuhkan kelab kami sendiri. Kelab kami bernama "Si Buruj Senduk Kecil Tolak Dua." Nama yang lucu tetapi ia diilhamkan daripada satu kesilapan. Kami mahu memberikan nama istimewa untuk kelab kami dan oleh kerana terdapat lima orang dalam kumpulan kami, kami mendapat idea nama Si Buruj Senduk Kecil. Kami menyangkakan ia mengandungi lima bintang tetapi rupa-rupanya kami tersilap. Ia ada tujuh bintang, sama seperti Buruj Senduk Besar dan itu menerangkan kenapa kami menambah "Tolak Dua."
Ilse Wagner memiliki set ping pong dan keluarganya membenarkan kami bermain di bilik makan pada bila-bila masa yang kami mahu. Oleh kerana kami berlima sukakan ais krim terutamanya pada musim panas, dan kerana kamu akan berasa panas ketika bermain ping pong, permainan kami biasanya berakhir dengan berkunjung ke gerai aiskrim yang menerima orang Yahudi; samada kedai aiskrim Oasis atau Delphi. Kami sudah lama berhenti membawa dompet atau duit -- selalunya ketika kami sibuk di Oasis, kami akan berjumpa beberapa orang sahabat lelaki atau peminat kami yang membelikan ais krim untuk kami dengan banyak sehingga kami boleh memakannya selama seminggu.
Kamu mungkin terkejut apabila mendengar saya bercakap tentang peminat pada usia begini. Malangnya, atau mungkin tidak, bergantung kepada keadaannya, budaya sebegini agak berluasa di sekolah kami. Sebaik sahaja seorang budak lelaki bertanya samada dia boleh mengayuh basikal bersama saya untuk balik ke rumah dan kami mula berbual, sembilan dari sepuluh kali saya yakin dia akan jatuh cinta kepada saya di situ juga dan tidak akan mengalihkan pandangannya dari saya walaupun sesaat. Minatnya lambat-laun akan berkurangan terutamanya apabila saya tidak memperdulikan pandangannya yang penuh nafsu dan mengayuh basikal dengan gembira. Jika keadaan terlalu teruk sehingga mereka mula bercakap tentang 'meminta kebenaran Ayah saya,' saya akan memusingkan badan saya sedikit di atas basikal dan membiarkan beg saya jatuh, dan budak lelaki itu akan merasa kewajiban untuk turun dari basikalnya dan mengambil beg saya dan menyerahkannya semula kepada saya, dan ketika itu saya akan menukar topik perbualan. Ini adalah jenis budak lelaki yang naif. Sudah tentu, ada juga budak lelaki yang meniup ciuman untuk kamu atau cuba memegang tangan kamu tetapi mereka pastinya mengetuk pintu yang salah. Saya akan turun dari basikal saya dan saya akan menghalau mereka atau berpura-pura seolah-olah saya terhina dan memberitahu mereka dengan jelas supaya balik ke rumah tanpa saya. Itulah dia. Sekarang kita telah membentangkan asas persahabatan kita.
Jumpa lagi esok.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.