Iceland mungkin lebih terkenal dengan eksport muziknya. Sebut sahaja Iceland, pasti orang akan mengaitkannya dengan Bjork atau Sigur Ros. Tetapi ramai yang mungkin tidak tahu, Iceland juga terkenal sebagai negara yang mempunyai penduduk yang paling kuat membaca.
Dengan populasi penduduk sekitar 330,000 orang, Iceland tidaklah mempunyai pasaran buku yang besar. Walaubagaimanapun, ia adalah antara negara yang mempunyai kadar buku paling tinggi per kapita (3.5 buku bagi setiap 1,000 orang penduduk) dan Iceland juga terkenal sebagai sebuah negara yang mempunyai penduduk yang kuat membaca. Menurut satu kajian pada tahun 2013 yang dijalankan oleh Universiti Bifröst, 50% penduduk Iceland membaca sekurang-kurangnya 8 buah buku setiap tahun manakala 93% peratus pula membaca sekurang-kurangnya 1 buah buku. Apa yang lebih menarik, Majalah BBC menyatakan bahawa seorang daripada setiap 10 orang penduduknya akan menerbitkan sebuah buku sepanjang hidup mereka!
Lebih membanggakan lagi, penulis dari Iceland juga pernah memenangi Hadiah Nobel Sastera iaitu Halldór Laxness yang menerima Hadiah Nobel Sastera pada tahun 1955. Pada zaman kini pula, penulis-penulis Iceland juga mengecap populariti di peringkat antarabangsa seperti Arnaldur Indriðason, Yrsa Sigurðardóttir dan Viktor Arnar Ingólfss.
Di harapnya suatu hari nanti negara kita juga akan mempunyai masyarakat yang begitu menghargai buku dan tabiat membaca seperti penduduk Iceland.
***
Sumber: 2Seas Agency