Rabu, 24 Jun, 1942
Kehadapan Kitty,
Cuaca sangat panas. Semua orang termengah-mengah dan saya terpaksa berjalan kaki ke mana-mana sahaja di dalam cuaca panas ini. Sekarang baru saya sedar betapa selesanya menaiki keretapi tetapi kami orang Yahudi tidak dibenarkan menggunakan kemudahan ini. Dapat menggunakan dua kaki sudah cukup baik bagi kami. Ketika waktu makan tengahari semalam saya ada temujanji dengan doktor gigi di Jan Luykenstraat. Jaraknya begitu jauh dengan sekolah kami yang terletak di Stadstimmertuinen. Tengahari itu saya hampir tertidur di meja saya. Nasib baik ada orang datang dengan serta-merta dan memberikan saya air. Penolong doktor gigi di situ sangat baik.
Satu-satunya pengangkutan awam yang kami masih boleh gunakan adalah feri. Pemandu feri di Josef Israelkade akan membawa kami menyeberang sungai jika kami mahu. Ia bukanlah salah orang Belanda yang menyebabkan kami orang Yahudi menderita.
Saya harap saya tidak perlu ke sekolah. Basikal saya dicuri ketika cuti Easter dan Ayah memberikan basikal Ibu kepada sahabat Kristiannya untuk disimpan. Nasib baik cuti musim panas semakin hampir: satu minggu lagi dan penderitaan kami akan berakhir.
Pagi semalam ada perkara mengejutkan yang berlaku. Ketika saya melintasi tempat letak basikal, saya terdengar seseorang memanggil saya dan ketika saya berpaling, ada seorang budak lelaki baik yang saya kenali semasa saya berada di rumah sahabat saya Wilma pada malam sebelumnya. Dia merupakan sepupu Wilma. Saya selalu merasakan Wilma seorang yang baik, dan dia memang baik, tetapi apa yang dia bualkan hanyalah tentang lelaki dan ia membosankan saya. Budak lelaki itu menghampiri saya dengan agak malu dan memperkenalkan dirinya sebagai Hello Silberberg.
Saya sedikit terkesima dan tidak tahu apa yang dia mahu tetapi saya tidak mengambil masa yang lama untuk tahu tujuannya. Dia bertanya samada dia boleh mengiringi saya ke sekolah. "Saya tidak kisah jika kita berdua menuju ke arah yang sama," kata saya. Jadi kami pun berjalan bersama. Hello berumur enam belas tahun dan seorang yang pandai bercerita kisah-kisah yang lucu.
Pagi tadi dia menunggu saya lagi dan saya mengandaikan selepas ini dia akan melakukan perkara yang sama setiap hari.
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.