Rabu, 1 Julai 1942
Kehadapan Kitty,
Secara jujurnya saya tidak berkesempatan untuk menulis kepada kamu sehinggalah hari ini. Saya bersama sahabat-sahabat saya sepanjang hari khamis. Pada hari jumaat kami ada tetamu dan begitulah keadannya sehingga hari ini.
Sepanjang minggu ini saya dan Hello semakin mengenali antara satu sama lain dan dia banyak menceritakan kepada saya tentang kisah hidupnya. Dia datang dari Gelsenkirchen dan tinggal di sana bersama datuk dan neneknya. Ibu-bapanya berada di Belgium tetapi sangat mustahil untuk dia ke sana. Hello pernah mempunyai seorang kekasih bernama Ursula. Saya juga mengenali kekasihnya. Dia seorang yang sangat baik dan sangat membosankan. Sejak Hello mengenali saya, Hello tersedar yang dia mula berasa bosan dengan Ursula. Jadi saya seperti penawar untuknya. Kamu memang tidak akan tahu apa kegunaan kamu!
Pada hari sabtu, Jacque bermalam di rumah saya. Tengahari ahad pula dia pergi ke rumah Hanneli dan ia membuatkan saya berasa begitu bosan.
Sepatutnya Hello datang ke sini pada malam ini tetapi dia menelefon pada pukul 6 petang tadi. Saya menjawab panggilannya dan dia berkata, "Hello, saya Helmuth Silberberg. Boleh saya bercakap dengan Anne."
"Oh, Hello. Anne sedang bercakap."
"Oh, hai, Anne. Apa khabar?"
"Baik, terima kasih."
"Saya sebenarnya ingin minta maaf kerana saya tidak boleh datang malam ini tetapi saya ingin menyatakan sesesuatu kepada kamu. Bolehkah saya datang ke rumah kamu lagi sepuluh minit dan bawa kamu keluar?"
'Oh, boleh. Jumpa nanti!"
Okay, saya datang sekarang. Jumpa nanti!"
Saya meletakkan telefon dan dengan pantas menukar pakaian dan mendandan rambut saya. Saya begitu gemuruh dan saya menjenguk di tepi tingkat untuk menanti kehadirannya. Akhirnya dia muncul. Sungguh ajaib, saya tidak terus turun ke bawah tetapi menunggu sehingga dia menekan loceng pintu. Saya turun ke bawah untuk membuka pintu dan dia terus menyatakan apa yang ingin disampaikannya.
"Anne, nenek saya kata saya tidak boleh berjumpa kamu selalu kerana kamu terlalu muda untuk saya. Dia kata saya sepatutnya pergi berjumpa Ursula tetapi kamu tentu sudah tahu saya tidak ada apa-apa hubungan lagi dengan Ursula."
"Tak, saya tak tahu. Apa yang berlaku? Adakah kamu berdua bergaduh?"
"Tak, kami tak bergaduh. Saya beritahu Ursula yang kami tidak serasi bersama dan adalah lebih baik kami berpisah tetapi dia dialu-alukan di rumah saya dan begitu juga saya harap saya akan dialu-alukan di rumahnya. Sebenarnya, saya rasa Ursula mempunyai kekasih lain dan saya melayannya seolah-olah dia mempunyai kekasih lain. Tetapi itu tidak benar. Pakcik saya menyuruh saya untuk meminta maaf tetapi saya tidak berasa seperti mahu meminta maaf dan atas sebab itu saya memutuskan hubungan kami. Tetapi itu cuma salah satu sebab kami berpisah.
Sekarang nenek saya mahu saya berjumpa Ursula dan bukannya kamu tetapi saya tidak bersetuju dan tidak akan mengikuti permintaannya. Kadang-kadang orang tua memang mempunyai fikiran yang kolot tetapi itu tidak bermakna saya perlu menurutinya tanpa banyak soal. Saya perlukan datuk dan nenek saya, tetapi dalam beberapa hal lain mereka perlukan saya juga. Mulai saat ini, saya bebas setiap rabu malam. Datuk dan nenek saya memasukkan saya ke dalam kelas ukiran kayu tetapi pada hakikatnya saya pergi ke kelab yang diadakan oleh Zionis. Datuk dan nenek saya tidak mahu saya pergi kerana mereka anti-Zionis. Saya bukan seorang fanatik Zionis tetapi ia menarik minat saya. Apapun, kebelakangan ini keadaan agak huru-hara dan saya bercadang untuk berhenti ke sana. Jadi rabu depan adalah perjumpaan terakhir saya. Itu bermakna saya boleh berjumpa kamu pada rabu malam, sabtu tengahari, sabtu malam, ahad tengahari dan mungkin banyak lagi masa lain."
"Tapi jika datuk dan nenek kamu tak mahu kamu berjumpa saya, kamu tak sepatutnya menipu mereka."
"Semuanya boleh demi cinta dan perang."
Pada masa yang sama kami melintasi kedai buku Blankevoort dan di situ ada Peter Schiff bersama dua orang budak lelaki lain. Itu merupakan pertama kali dia menegur saya selepas sekian lama dan ia benar-benar membuatkan saya berasa gembira.
Pada isnin malam, Hello datang ke rumah saya untuk berjumpa Ayah dan Ibu. Saya menghidangkan mereka kek dan coklat dan kami meminum teh dan memakan biskut tetapi saya dan Hello tidak berasa seperti hendak duduk kaku sahaja di kerusi kami. Jadi kami keluar untuk bersiar-siar dan dia tidak menghantar saya pulang sehinggalah 10 minit selepas pukul 8 malam. Ayah begitu marah. Dia berkata saya telah melakukan kesalahan besar kerana tidak kembali ke rumah tepat pada masanya. Saya berjanji kepada Ayah pada masa akan datang saya akan pulang sepuluh minit sebelum pukul lapan. Saya dijemput datang ke rumah Hello pada hari sabtu.
Wilma ada bercerita kepada saya tentang masa ketika Hello datang ke rumahnya. Dia bertanya kepada Hello, "Siapa yang kamu paling suka, Ursula atau Anne?"
Dia menjawab, "Itu bukan urusan kamu."
Tetapi ketika Hello mahu pulang (mereka langsung tidak bercakap selepas Wilma bertanya soalan tadi), dia berkata, "Sebenarnya, saya lebih sukakan Anne tapi jangan beritahu sesiapa. Selamat tinggal!" dan dengan sepantas kilat dia sudah berada di luar.
Meneliti setiap perkataan dan gerak-gerinya, saya nampak Hello sudah jatuh cinta kepada saya dan saya rasa itu perubahan yang bagus. Margot berkata Hello sangat sesuai untuk saya. Saya juga rasa benda yang sama tetapi dia lebih dari itu. Ibu juga selalu memujinya: "Budak lelaki yang kacak, baik dan sopan." Saya bersyukur kerana dia digemari oleh semua orang tetapi dia tidak menyukai sahabat-sahabat perempuan saya. Dia rasa mereka semua sangat kebudak-budakan dan dia memang betul. Jacque masih mengusik saya tetapi saya tidak mencintainya. Tidak mengapa untuk saya mempunyai budak lelaki lain sebagai sahabat. Tiada siapa akan kisah.
Ibu selalu bertanya siapa yang saya mahu kahwini apabila saya besar tetapi dia mungkin tidak menyangka orang itu adalah Peter kerana saya menyatakan kepada Ibu dengan tegas yang saya tidak menyukai Peter. Saya mencintai Peter kerana saya tidak pernah mencintai lelaki lain dan saya memberitahu diri saya bahawa dia hanya bersahabat dengan perempuan-perempuan lain untuk menyembunyikan persaannya terhadap saya. Mungkin dia rasa saya dan Hello mencintai satu sama lain tetapi itu tidak benar. Hello hanyalah seorang sahabat atau sepertimana Ibu nyatakan iaitu seorang beau.
yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.