Ahad, 5 Julai, 1942
Kehadapan Kitty,
Majlis graduasi di Dewan Teater Yahudi pada hari jumaat berlangsung seperti yang dirancang. Kad laporan saya tidak begitu teruk. Saya mendapat satu D, satu C- untuk algebra dan B untuk mata pelajaran yang lain kecuali dua B+ dan dua B-. Ibu saya agak gembira tetapi mereka tidak seperti ibu-bapa lain bila tiba soal gred. Mereka tidak pernah kisah samada kad laporan saya bagus atau tidak. Mereka berpuas hati jika saya sihat dan gembira dan tidak banyak melawan. Jika tiga perkara ini ada, semua yang lain akan baik.
Ia begitu berbeza dengan saya. Saya tidak mahu menjadi pelajar yang lemah. Saya diterima masuk secara bersyarat ke Lyceum Yahudi. Saya dikehendaki bersekolah sehingga gred tujuh di sekolah Montessori tetapi ketika anak-anak Yahudi diarahkan untuk bersekolah di sekolah Yahudi, Encik Elte akhirnya bersetuju, selepas dipujuk kuat, untuk menerima saya dan Lies Goslar.
Kasihan sungguh si Lies. Ia bukan mudah untuk belajar di rumah: adik perempuannya yang bernama Gabi yang baru berusia dua tahun sangat dimanjakan dan sering bermain di dalam biliknya sepanjang hari. Jika kemahuan Gabi tidak dituruti, dia akan mula menjerit dan jika Lies tidak menjaga Gabi, Puan Goslar pula akan menjerit. Jadi Lies sukar untuk melakukan kerja sekolahnya dan jika ia berterusan, kelas peribadi yang diikutinya tidak akan membantunya.
Keluarga Goslar memang huru-hara. Ibu-bapa Puan Goslar tinggal di rumah sebelah tetapi makan bersama mereka. Di rumah keluarga Goslar ada orang gaji, Gabi, Encik Goslar yang selalu berkhayal dan Puan Goslar yang selalu menggelabah dan tidak selesa kerana sedang mengandung. Lies pula tenggelam di tengah-tengah huru-hara ini.
Kakak saya Margot juga mendapat kad laporannya.
Dia seperti biasa mendapat keputusan yang cemerlang. Jika wujud "cum laude" di dalam keluarga kami, dia akan melepasinya dengan kepujian. Dia memang bijak.
Kebelakangan ini Ayah selalu berada di rumah. Tiada apa yang dia boleh lakukan di pejabatnya. Ia tentu teruk apabila berasa tidak diperlukan di tempat kerja. Encik Kleiman telah mengambil alih Opektra dan Encik Kugler pula mengambil alih Gies & Co yang merupakan sebuah syarikat rempah ratus yang ditubuhkan pada tahun 1941.
Beberapa hari lalu ketika kami bersiar-siar di sekitar rumah kami, Ayah mula menyebut tentang hendak bersembunyi. Dia berkata kami akan mengalami kesukaran yang sangat besar kerana terpisah dari dunia luar. Saya bertanya kenapa dia membangkitkan hal ini sekarang.
"Anne," jawabnya, "Kamu tahu sudah setahun kita menyerahkan pakaian, makanan dan perabot kita kepada orang lain. Kita tidak mahu harta kita dirampas oleh Jerman. Kita juga tidak mahu mereka menahan kita. Jadi kita akan meninggalkan rumah kita dengan sukarela tanpa menunggu mereka menghalau kita."
"Tetapi bila, Ayah?" Dia kedengaran serius dan saya berasa takut.
"Kamu jangan risau. Ayah dan Ibu akan menguruskan segala-galanya. Kamu nikmatilah hidup kamu selagi masa masih ada."
Itu saja. Oh, semoga kata-kata suram itu tidak akan menjadi benar selama mana yang boleh. Loceng pintu berbunyi. Hello sudah sampai, masa untuk berhenti.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.