Memang diakui menulis sesebuah novel memang memerlukan masa dan tumpuan yang tidak berbelah bagi. Jadi tidak hairanlah jika ada penulis yang mengambil masa yang lama untuk menyiapkan sesebuah novel.
Namun begitu, terdapat juga novel yang ditulis dengan begitu pantas sekali. Ia bukan sahaja mengambil masa yang singkat untuk disiapkan, malah menjadi novel yang cukup popular. Buktinya, Kazuo Ishiguro menyatakan bahawa beliau hanya mengambil masa empat minggu untuk menulis novel terkenalnya The Remains of the Day. Menurut Ishiguro, ada juga novel yang beliau siapkan hanya dalam tempoh enam minggu dan ada pula yang mengambil masa sehingga lima tahun yang mana setiap satunya mempunyai cabarannya yang tersendiri.
Mengikut cerita Ishiguro berkenaan penghasilan novel The Remains of the Day, beliau pada asalnya berasa tertekan untuk menghasilkan sebuah novel yang hebat yang menyamai pencapaian novel yang beliau tulis sebelumnya. Jadi pada tahun 1987, Ishiguro telah membuat perjanjian dengan isterinya bahawa dia akan menulis selama enam hari setiap minggu dari pukul 09:00 pagi sehingga 10:30 malam dan hanya akan berhenti rehat untuk makan dan hasilnya novel The Remains of the Day berjaya disiapkan empat minggu kemudian.
Ishiguro menyatakan kaedah yang beliau gunakan ini dinamakan sebagai "The Crash" kerana ia menyebabkan beliau berada pada satu fasa "tidak sedar diri" yang disengajakan akibat menulis tanpa henti. Menurut Ishiguro, sepanjang beliau menulis novel The Remains of the Day, beliau tidak memperdulikan tentang gaya penulisannya atau apa yang ditulisnya. Beliau membiarkan kesemuanya dan terus menulis dan menulis. Pada hari ketiga, Ishiguro menyatakan isterinya menyedari beliau mula berperangai pelik. Pada hari rehat minggu pertama beliau menulis, isterinya menyatakan Ishiguro tidak berhenti ketawa ketika berjalan-jalan di luar rumah. Walaubagaimanapun Ishiguro tidak berhenti dari rutinnya sehinggalah beliau selesai menulis novel The Remains of the Day.
***
Sumber: The Guardian