Khamis, 9 Julai, 1942
Kehadapan Kitty,
Kami sudah berada di jalanan. Ayah, Ibu dan saya berjalan di dalam hujan sambil setiap daripada kami membawa satu beg sekolah dan beg membeli-belah yang diisi penuh dengan pelbagai barang. Mereka yang keluar bekerja pada awal pagi memberikan pandangan simpati kepada kami; kamu boleh tahu melalui riak muka mereka yang mereka berasa bersalah kerana tidak mampu menawarkan apa-apa pengangkutan kepada kami. Bintang kuning yang jelas kelihatan pada baju kami bercakap dengan sendirinya.
Ayah dan Ibu hanya mula menceritakan sedikit demi sedikit rancangan sebenar kami ketika kami sedang berjalan. Selama berbulan-bulan kami telah mengalihkan apa saja perabot dan pakaian yang kami mampu dari rumah kami. Ia telah dipersetujui bahawa kami akan pergi bersembunyi pada 16 Julai. Tetapi kerana panggilan yang diterima Margot, kami terpaksa mengawalkannya sepuluh hari dan ia bermakna kami terpaksa berpindah dengan barang-barang yang sedia ada.
Tempat persembunyain kami terletak di bangunan pejabat Ayah. Mungkin orang luar sukar memahaminya, jadi saya akan cuba menerangkannnya. Ayah tidak mempunyai ramai orang yang bekerja di pejabatnya. Yang ada hanya Encik Kugler, Encik Kleiman, Miep dan seorang jurutaip berusia 23 tahun bernama Bep Voskuijl yang sedia maklum tentang kedatangan kami. Encik Voskuijl iaitu ayah Bep bekerja di gudang tingkat bawah bersama dua orang pembantu tetapi mereka tidak tahu kehadiran kami.
Ini adalah gambaran tentang bangunan pejabat ayah saya. Gudang besar di tingkat bawah digunakan sebagai bilik bekerja dan bilik stor dan dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti bilik stok dan bilik mengisar di mana kayu manis, cengkih dan lada hitam dikisar.
Di sebelah pintu masuk gudang pula terdapat satu lagi pintu masuk untuk ke pejabat. Di sebalik pintu masuk itu terdapat satu lagi pintu dan disebaliknya terdapat tangga. Di atas tangga terdapat satu lagi pintu dengan tingkap cermin yang terdapat perkataan "Pejabat" yang ditulis dengan huruf berwarna hitam. Ini adalah pejabat besar hadapan - - sangat besar, terang dan penuh. Bep, Miep dan Encik Kleiman bekerja di sini pada waktu siang. Selepas melintasi satu reluang yang mengandungi peti keselamatan, satu almari pakaian dan almari bekalan yang besar, terdapat sebuah pejabat belakang yang kecil, gelap dan sempit. Pejabat ini pernah dikongsi oleh Encik Kugler dan Encik van Daan tetapi sekarang ia hanya dihuni oleh Encik Kugler. Pejabat Encik Kugler boleh dimasuki dari laluan hadapan tetapi hanya dengan melalui satu pintu gelas yang boleh dibuka dengan mudah dari bahagian dalam dan agak susah dibuka dari bahagian luar. Jika kamu meninggalkan pejabat Encik Kugler dan berjalan terus melalui laluan hadapan yang sempit dan panjang melintasi peti arang dan naik empat anak tangga, kamu akan sampai di sebuah pejabat peribadi yang merupakan bilik paling cantik di dalam bangunan ini. Perabot mahogani yang elegen, lantai linoleum yang dilapik dengan karpet kecil, radio, lampu yang beragam, semuanya kelas pertama. Di sebelahnya terdapat dapur yang luas yang mempunyai pemanas air dan dua dapur gas dan terletak bersebelahan dengan tandas. Ini semua adalah tingkat dua.
Satu tangga kayu dari laluan hadapan tingkat dua membawa ke tingkat tiga. Dia atas tangga terdapat satu ruang dan dua pintu di kiri dan kanannya. Pintu kanan membawa kamu ke ruang penyimpanan rempah, loteng dan para di bahagian hadapan rumah. Tangga tipikal rumah Belanda yang bersimpang siur, cerun dan berpusing-pusing juga ada di bahagian hadapan bangunan yang membawa ke sebuah pintu keluar ke jalan hadapan.
Pintu di sebelah kanan pula membawa ke "Bilik Rahsia" di bahagian belakang bangunan. Tiada siapa yang akan menyangka bahawa terdapat banyak bilik di belakang pintu kelabu biasa itu. Hanya satu langkah di hadapan pintu dan kamu sudah berada di dalam. Menuju terus kamu akan berjumpa tangga yang curam. Di sebelah kiri adalah laluan sempit menuju sebuah bilik yang menjadi ruang tamu dan bilik tidur untuk keluarga Frank. Di sebelahnya terdapat satu bilik kecil yang menjadi bilik tidur dan bilik belajar dua orang anak perempuan keluarga ini. Di sebelah kanan tangga terdapat bilik air yang tidak bertingkap yang bersambung. Pintu di sudut menuju ke bilik air dan satu lagi pintu menuju ke bilik yang dikongsi oleh saya dan Margot. Jika kamu menaiki tangga dan membuka pintu di atasnya, kamu akan terkejut kerana melihat sebuah bilik yang besar dan terang di dalam sebuah bangunan di tepi sungai yang lama seperti ini. Di dalamnya terdapat dapur (ucapan terima kasih untuk Encik Kugler yang pernah menggunakan bilik ini sebagai makmalnya) dan sebuah sinki.
Bilik ini akan menjadi dapur dan bilik tidur Encik van Daan dan Puan van Daan dan juga ruang tamu umum, ruang makan dan ruang belajar untuk kami semua. Satu bilik kecil di tepinya akan menjadi bilik Peter van Daan. Sama seperti bahagian hadapan bangunan, di sini juga ada loteng dan para. Jadi itulah dia. Sekarang saya sudah menerangkan kesemuanya tentang Bilik Rahsia kami yang cantik.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.