Jumaat, 10 Julai, 1942
Kehadapan Kitty
Saya mungkin membosankan kamu dengan penerangan panjang lebar saya tentang rumah kami tetapi saya rasa kamu perlu tahu di mana saya tinggal. Bagaimana saya boleh berada di sini adalah sesuatu yang kamu akan tahu melalui surat saya yang seterusnya.
Tetapi biar saya sambung cerita saya dahulu kerana kamu sedia tahu yang saya belum habis lagi dengan cerita saya. Selepas kami sampai di 263 Prinsengracht, Miep dengan pantas membawa kami melalui laluan hadapan yang panjang dan menaiki tangga kayu menuju ke tingkat seterusnya dan masuk ke dalam Bilik Rahsia. Dia menutup pintu dan meninggalkan kami bersendirian. Margot telah sampai lebih awal menaiki basikalnya dan sedang menunggu kami.
Ruang tamu kami dan bilik-bilik lain telah dipenuhi dengan barang sehinggakan saya tidak tahu bagaimana untuk menerangkannya. Semua kotak kadbod yang telah dihantar ke pejabat sejak beberapa bulan yang lalu disusun bertingkat-tingkat di atas lantai dan katil. Bilik kecil kami dipenuhi kain-kain linen dari lantai hingga ke siling. Jika kamu mahu tidur di katil yang sempurna pada sebelah malam, kami perlu mengemaskan semua ini dengan segera. Ibu dan Margot sudah longlai. Mereka berbaring di tilam kosong, keletihan, sengsara dan saya tidak tahu apa lagi yang mereka rasa. Tetapi Ayah dan saya, dua orang pencuci kelas atasan keluarga kami, memulakan kerja serta-merta.
Sepanjang hari kami membuka kotak, mengisi almari, memaku dan membersihkan barang yang bersepah sehingga kami juga terbaring keletihan di atas katil pada sebelah malamnya. Sepanjang hari kami tidak makan apa-apa makanan panas tetapi kami tidak peduli. Ibu dan Margot sudah terlalu letih dan longlai untuk makan manakala ayah dan saya pula terlalu sibuk.
Pada khamis pagi, kami menyambung semula kerja kami yang tertangguh pada malam sebelumnya. Bep dan Miep pergi membeli barang makanan menggunakan kupon catuan kami. Ayah pula memasang skrin hitam di tingkap dan kami pula menggosok lantai di dapur. Kami sekali lagi sibuk dari matahari terbit hingga matahari terbenam. Saya tidak mempunyai sebarang peluang untuk memikirkan tentang perubahan besar yang sedang berlaku dalam hidup saya sehinggalah hari rabu. Kemudian untuk pertama kalinya sejak kedatangan kami di Bilik Rahsia, saya mendapat pelaang seketika untuk memberitahu kamu semuanya dan mula sedar apa yang berlaku kepada saya dan apa yang bakal berlaku.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.