Rabu, 8 Julai, 1942
Kehadapan Kitty,
Saya rasa seperti sudah bertahun berlalu sejak ahad pagi lepas. Terlampau banyak perkara terjadi seolah-olah dunia sudah ditungggang-terbalikkan. Tetapi Kitty, sepertimana yang kamu boleh lihat, saya masih hidup dan itu adalah perkara paling penting, kata Ayah saya. Saya memang masih hidup tetapi jangan tanya di mana dan bagaimana. Kamu mungkin tdak faham sepatah pun apa yang saya katakan hari ini, jadi saya akan mulakan cerita saya tentang apa yang berlaku pada ahad tengahari.
Pada pukul tiga petang (Hello telah balik ke rumah dan sepatutnya datang semula kemudian) loceng pintu rumah saya berbunyi. Saya tidak mendengarnya kerana ketika itu saya sedang bermalasan-malasan di balkoni sambil membaca buku di bawah sinar matahari. Tidak berapa lama kemudian, Margot muncul di pintu dapur dan kelihatan tidak keruan. "Ayah telah menerima panggilan dari SS," bisiknya. "Ibu telah pergi berjumpa Encik van Daan (Encik van Daan adalah rakan perniagaan ayah saya dan bersahabat baik dengan ayah saya.)
Saya begitu terkejut. Panggilan: semua orang tahu maknanya. Bayangan kem konsentrasi dan bilik-bilik penjara kosong muncul di kepala saya. Bagaimana kami boleh membiarkan Ayah menyerah kepada nasib sebegitu? "Sudah tentu Ayah tidak akan pergi," kata Margot ketika kami menanti Ibu di ruang tamu. "Ibu pergi berjumpa Encik van Daan untuk bertanya samada kita boleh pergi ke tempat persembunyian kita esok. Keluarga van Daan akan menyertai kita. Semua kita berjumlah tujuh orang."
Diam. Kami tidak boleh berkata-kata. Bayangan Ayah yang sedang mengunjungi seseorang di Hospital Yahudi dan langsung tidak sedar apa yang sedang berlaku, menunggu Ibu dengan lama, kepanasan, kebimbangan -- semua ini menyebakan kami diam.
Tiba-tiba loceng pintu berbunyi sekali lagi. "Mungkin itu Hello," kata saya.
"Jangan buka pintu!" teriak Margot untuk menghalang saya. Tetapi itu tidak perlu kerana kami mendengar Ibu dan Encik van Daan sedang berbual dengan Hello di tingkat bawah dan kemudian Ibu dan Encik van Daan masuk ke dalam dan mengunci pintu. Setiap kali loceng pintu berbunyi, saya atau Margot akan berjalan berjengket-jengket ke bawah untuk melihat samada orang yang menekan loceng adalah Ayah dan kami tidak membenarkan orang lain masuk. Margot dan saya disuruh masuk ke bilik kerana Encik van Daan mahu berbual sendirian dengan Ibu.
Ketika kami duduk di dalam bilik kami, Margot memberitahu panggilan tersebut bukan untuk Ayah tetapi untuk Margot. Kejutan kedua ini membuatkan saya menangis. Margot baru berusia enam belas tahun -- nampaknya mereka mahu menghantar pergi gadis yang berumur enam belas tahun sepertinya sendirian. Tetapi Margot tidak akan ke mana-mana. Ibu sendiri yang mengesahkannya dan itu mungkin menerangkan apa yang Ayah maksudkan dengan pergi bersembunyi.
Bersembunyi... di mana kami hendak bersembunyi? Di bandar? Di kampung? Di rumah? Di pondok? Bila, di mana, bagaimana...? Saya tidak dibenarkan bertanya soalan-soalan ini tetapi ia terus bermain di dalam kepala saya.
Saya dan Margot mula memasukkan barang-barang penting kami ke dalam beg sekolah. Benda pertama yang saya masukkan adalah diari ini, kemudian pengerinting rambut, sapu tangan, buku sekolah, sikat dan beberapa keping surat lama. Kerana sibuk memikirkan tentang pergi bersembunyi, saya memasukkan benda-benda yang pelik ke dalam beg saya tetapi saya tidak peduli. Bagi saya memori adalah lebih penting berbanding pakaian.
Ayah akhirnya kembali semula ke rumah pada pukul 5.00 petang dan kami menelefon Encik Kleiman untuk bertanya samada dia boleh datang ke rumah kami pada sebelah malam. Encik van Daan beredar untuk memanggil Miep. Miep datang dan membawa pergi beg yang diisi penuh dengan kasut, pakaian, jaket, seluar dalam dan stokin. Dia berjanji untuk kembali semula berjumpa kami pada sebelah malam. Selepas dia beredar, rumah kami terasa sunyi dan kami semua juga langsung tidak berasa lapar. Hari masih panas dan semuanya kelihatan sangat pelik.
Kami menyewakan bilik besar di tingkat atas rumah kami kepada Encik Goldschmidt yang telah bercerai semasa umurnya sekitar tiga puluhan. Kelihatan dia tidak ada apa-apa rancangan pada sebelah malam dan dia terus bersama kami sehingga pukul 10.00 malam walaupun kami telah memberikan dia pelbagai isyarat yang sopan supaya dia beredar.
Miep dan Jan Gies datang pada pukul sebelas malam. Miep yang bekerja di syarikat Ayah saya sejak tahun 1933 sudah menjadi sahabat baik keluarga kami. Begitu juga suaminya Jan. Sekali lagi, kasut, stokin, buku dan seluar dalam disumbatkan ke dalam beg Miep dan poket Jan. Pada pukul 11.30 malam, mereka menghilangkan diri.
Walaupun saya tahu ia adalah malam terakhir saya tidur di katil saya sendiri, saya terlalu letih untuk memikirkannya dan terus tertidur dan hanya bangun ketika Ibu memanggil saya pada pukul 5.30 pagi keesokannya. Nasib baik hari tidak sepanas hari sebelumnya kerana hujan renyai turun sepanjang hari.
Kami berempat memakai berlapis-lapis pakaian sehingga kami kelihatan seperti hendak menghabiskan sepanjang malam di dalam peti sejuk. Kami melakukan sebegitu supaya kami boleh membawa lebih banyak pakaian. Tiada seorang pun Yahudi yang berhadapan keadaan seperti kami berani meninggalkan rumah dengan membawa beg yang penuh dengan pakaian. Saya memakai dua baju dalam, tiga helai seluar dalam, satu dress, satu skirt, satu jaket, satu baju hujan, dua pasang stokin, kasut yang berat, satu topi, satu skarf dan banyak lagi. Saya sudah berasa lemas walaupun kami belum meninggalkan rumah tetapi tiada siapa yang peduli tentang saya.
Margot menyumbat beg sekolahnya dengan buku-buku sekolah. Selepas itu dia pergi mengambil basikalnya dan kemudian sambil diiringi Miep, dia mengayuh basikalnya ke tempat yang tidak diketahui. Apapun keadaanya, itulah apa yang saya fikirkan ketika itu kerana saya masih tidak tahu di mana tempat persembunyian kami.
Pada pukul tujuh setengah malam, kami juga menutup pintu rumah kami. Kucing saya Moortje adalah satu-satunya makhluk hidup yang saya ucapkan selamat tinggal. Menurut nota yang kami tinggalkan untuk Encik Goldschmidt, Moortje akan dijaga oleh jiran kami yang akan memberikannya rumah yang bagus.
Katil kosong, peralatan sarapan di atas meja, sepaun daging untuk kucing di dapur - semuanya memberikan pembayang yang kami berpindah secara tergesa-gesa. Tetapi kami tidak berminat tentang pembayang. Kami hanya mahu keluar dari rumah kami, melarikan diri dan sampai di destinasi kami dengan selamat. Semua perkara lain tidak lagi penting bagi kami. Cerita selanjutnya esok.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.