Hidup di zaman moden ini membuatkan kita sentiasa sibuk dengan pelbagai perkara. Untuk mencari masa terluang bagi membolehkan kita duduk dan membaca tanpa sebarang gangguan bukanlah satu perkara yang mudah.
Tetapi Darius Foroux mempunyai pandangan yang berbeza. Bagi beliau, membaca 100 buah buku dalam masa setahun bukanlah satu perkara yang mustahil. Berikut adalah beberapa tips daripada beliau.
1. Beli buku lebih awal
Apabila anda cuba membentuk satu tabiat baru, sudah tentunya perkara yang paling bagus untuk dilakukan adalah dengan membuang segala halangan yang mungkin boleh membantutkan rutin baru anda. Sebagai contoh, seseorang yang ingin mengambil vitamin setiap hari, perkara yang paling bagus untuk dilakukan adalah dengan meletakkan botol-botol vitamin di tempat yang mudah dilihat. Begitu juga apabila anda ingin memulakan tabiat membaca. Perkara terbaik yang anda boleh lakukan adalah meletakkan buku-buku di tempat yang anda boleh lihat dan ambil setiap masa. Jika anda mempunyai banyak buku di rumah anda, anda mempunyai lebih banyak pilihan dan sudah tentunya akan membantu anda membaca lebih banyak. Ini adalah kerana kebiasaannya, seseorang tidak merancang apa yang ingin dibacanya. Sebaliknya kebanyakan orang membaca buku secara spontan dan bergantung kepada apa yang menarik minat mereka ketika itu.
2. Sentiasa membaca buku
Ia mungkin kedengaran mudah tetapi tidak secara praktisnya. Tetapi anda boleh menyusun jadual harian anda untuk memastikan anda sentiasa membaca. Sebagai contoh, jika anda ingin berjumpa dengan seorang doktor di hospital awam, sudah tentunya anda tahu anda akan terpaksa menunggu beberapa ketika. Jadi anda sudah siap sedia untuk mengisi masa anda ketika menunggu dengan membaca buku.
3. Baca buku yang anda suka
Mahu membaca lebih banyak? Jangan paksa diri anda membaca buku yang anda tidak minat. Bukan semua buku ditulis untuk semua jenis orang. Sesebuah buku mungkin buku yang sangat laris tetapi ia tidak bermakna anda akan menyukainya.
***
Sumber: Inc