Ahad, 12 Julai, 1942
Mereka semua melayan saya dengan baik kebelakangan ini kerana ia adalah bulan kelahiran saya tetapi setiap hari saya berasa semakin jauh dari Ibu dan Margot. Saya diberi pujian kerana bekerja keras hari ini tetapi lima minit kemudian mereka kembali mengusik saya.
Kamu boleh nampak perbezaan cara mereka melayan Margot dan saya. Sebagai contoh, Margot telah merosakkan vakum dan atas sebab iitu kami terpaksa bergelap sepanjang hari. Ibu berkata, “Margot, nampaknya kamu memang tak biasa bekerja. Jika tidak sudah pasti kamu tahu kamu tidak boleh menanggalkan plug dengan menarik wayarnya.” Margot memberikan beberapa alasan dan ia berakhir di situ.
Tetapi petang tadi Ibu menghalang saya untuk menulis semula senarai beli-belah Ibu kerana tulisannya terlalu sukar di baca. Dia memarahi saya lagi dan akhirnya satu keluarga kami terlibat.
Saya tidak berasa sesuai dengan mereka dan beberapa minggu kebelakangan ini saya boleh merasakannya dengan jelas. Mereka sangat sentimental bersama tetapi saya lebih rela sentimental sendirian. Mereka selalu berkata betapa bagusnya kami berempat hidup dalam satu keluarga dan hubungan kami sentiasa baik tanpa berhenti sejenak untuk memikirkan hakikat bahawa saya tidak merasakannya sebegitu.
Ayah seorang sahaja yang betul-betul memahami saya dari dulu hingga sekarang walaupun dia selalunya menyebelahi Ibu dan Margot. Satu lagi perkara yang saya tidak tahan adalah apabila mereka menceritakan hal saya kepada orang luar tentang bagaimana saya menangis atau bagaimana baiknya perangai saya. Ia memang teruk.
Kadang-kadang mereka bercakap tentang Moortje dan saya langsung tidak boleh menerimanya. Moortje adalah kelemahan saya. Saya merinduinya setiap minit dan tiada siapa tahu betapa kerapnya saya memikirkannya dan saya pasti akan mengalirkan air mata apabila memikirkan tentang Moortje. Moortje sangat comel dan saya terlalu menyayanginya sehingakan saya selalu mengimpikan Moortje akan kembali semula ke pangkuan kami.
Saya ada banyak impian tetapi realitinya kami terpaksa tinggal di sini sehingga perang tamat. Kami tidak boleh keluar. Orang yang boleh datang berjumpa kami hanyalah Miep, suaminya Jan, Bep Voskuijl, Encik Voskuijl, Encik Kugler, Encik Kleiman dan isterinya Puan Kleiman walaupun isterinya tidak pernah datang kerana dia merasakan ia terlalu bahaya.
NOTA YANG DITAMBAH OLEH ANNE PADA SEPTEMBER 1942: Ayah selalu melayan saya dengan baik. Dia sangat memahami saya dan saya berharap kami ada peluang untuk berbual dari hati ke hati tanpa saya menangis dan mengalirkan air mata dengan serta-merta. Tetapi nampaknya itu ada kena mengena dengan usia saya. Saya mahu menghabiskan semua masa saya dengan menulis tetapi ia mungkin membosankan saya.
Sehingga sekarang saya hanya menyatakan fikiran saya kepada diari saya. Saya masih tidak mampu menulis kisah-kisah lucu yang boleh saya baca dengan kuat suatu hari nanti. Pada masa akan datang saya mahu menumpukan masa yang lebih kepada realiti dan bukannya sentimentaliti.
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.