Jumaat, 14 Ogos, 1942
Kehadapan Kitty,
Saya memulaukan kamu selama sebulan tetapi terlalu sedikit perkara yang saya rasa menarik untuk diceritakan kepada kamu. Keluarga van Daan tiba pada 13 Julai. Kami menyangka mereka akan datang pada 14 julai tetapi dari 13 hingga 16 julai, tentera Jerman menghantar notis panggilan kepada ramai orang dan membuatkan keadaan menjadi huru-hara. Jadi mereka merasakan adalah lebih selamat untuk bersembunyi lebih awal sebelum terlambat.
Peter van Daan tiba pada pukul 9.30 pagi (ketika kami masih bersarapan). Peter hampir berumur 16 tahun dan seorang yang pemalu dan pelik dan kehadirannya mungkin tidak memberikan apa-apa kesan. Encik van Daan dan isterinya tiba setengah jam kemudian.
Kami berasa agak lucu melihat Puan van Daan membawa kotak topi yang diisi dengan periuk najis. "Saya tak rasa seperti berada di rumah tanpa periuk najis saya" ujarnya dan ia adalah benda pertama yang diletakkan di bawah katil kayu jati. Encik van Daan pula mengepit satu meja lipat.
Dari awal lagi kami makan bersama dan selepas tiga hari kami bertujuh berasa seperti satu keluarga besar. Secara semulajadinya, keluarga van Daan mempunyai banyak perkara yang berlaku di luar untuk diceritakan sepanjang seminggu kami bersembunyi. Kami begitu teruja untuk mendengar cerita tentang rumah kami dan apa yang telah berlaku kepada Encik Goldschmidt.
Encik van Daan menceritakannya kepada kami: "Pada hari Isnin pukul 9.00 pagi, Encik Goldschmidt menelefon saya dan bertanya samada saya boleh datang berjumpanya. Saya terus ke sana dan mendapati dia berada dalam keadaan agak kusut. Dia menunjukkan saya nota yang telah ditinggalkan oleh keluarga Frank. Seperti yang diarahkan di dalam nota, dia merancang untuk membawa kucing di rumah itu untuk diserahkan kepada jiran sebelah dan saya bersetuju ia idea yang baik. Dia risau rumah itu akan digeledah, jadi kami pergi mengemaskan setiap bilik dan membersihkan sarapan di atas meja.
Tiba-tiba saya ternampak buku nota di atas meja Encik Frank yang tertulis alamat di Maastricht. Walaupun saya tahu Encik Frank meninggalkan buku nota itu dengan sengaja, saya berpura-pura terkejut dan takut dan merayu kepada Encik Goldschmidt untuk membakar buku nota itu. Saya bermati-matian menyatakan yang saya tidak tahu ke mana kamu semua menghilangkan diri tetapi alamat di buku nota itu memberikan saya idea.
'Encik Goldschmidt,' kata saya, 'Saya rasa saya tahu alamat ini merujuk kepada apa. Lebih kurang enam bulan lepas, seorang pegawai berpangkat tinggi datang ke pejabat kami. Kelihatannya dia dan Encik Frank membesar bersama. Dia berjanji akan menolong Encik Frank jika perlu. Seingat saya, dia dipindahkan ke cawangan di Maastricht. Saya rasa pegawai itu menunaikan janjinya dan merancang untuk menolong keluarga Encik Frank menyeberangi Belgium dan menuju ke Switzerland. Saya rasa tidak menjadi masalah untuk menceritakan perkara ini jika ada sahabat-sahabat Encik Frank yang datang bertanya tentangnya. Sudah tentu kamu tidak perlu menyebut cerita tentang Maastricht.' Selepas itu saya beredar. Itulah versi cerita yang disampaikan kepada kawan-kawan kamu kerana saya mendengarnya kemudian dari beberapa orang lain."
Kami rasa cerita ini cukup lucu tetapi kami ketawa lebih kuat apabila Encik van Daan memberitahu kami terdapat orang yang mempunyai imaginasi yang lebih pelik. Sebagai contoh, satu keluarga yang tinggal di kawasan kejiranan kami menyatakan mereka nampak kami semua mengayuh basikal pada awal pagi dan seorang lagi perempuan sangat yakin kami telah disumbat ke dalam lori tentera pada tengah malam.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.