Jumaat, 21 Ogos, 1942
Kehadapn Kitty,
Sekarang Bilik Rahsia kami memang benar-benar rahsia.
Encik Kugler merasakan adalah lebih baik satu rak buku dibina di hadapan pintu masuk ke tempat persembunyian kami kerana terdapat begitu banyak rumah yang telah digeledah untuk mencari basikal yang disembunyikan. Rak buku yang ingin dibina adalah rak buku yang boleh dibuka dan ditutup seperti pintu. Encik Voskuijl melakukan kerja-kerja pemasangan rak buku itu (Encik Voskuijl telah diberitahu tentang kehadiran kami semua dan dia adalah yang paling ringan tulang dalam membantu kami.)
Sekarang kami perlu tunduk dan kemudian melompat setiap kali kami mahu turun ke tingkat bawah. Selepas tiga hari, kami semua berjalan dengan bengkak di dahi kami kerana terhantuk pada laluan pintu yang rendah. Kemudian Peter membalut rangka pintu tersebut dengan memaku tuala yang disumbat dengan cebisan-cebisan kayu. Mari kita tengok samada ianya membantu!
Saya tidak lagi melakukan kerja sekolah. Saya memberikan diri saya cuti hingga bulan September. Selepas itu Ayah mahu mula mengajar saya sendiri tetapi kami perlu membeli buku-buku sekolah terlebih dahulu.
Tidak banyak perubahan berlaku sepanjang kami hidup di sini. Peter mencuci rambutnya hari ini tetapi itu bukanlah sesuatu yang istimewa. Encik van Daan dan saya selalu bertengkar. Saya tidak tahan dengan Ibu yang selalu melayan saya seperti bayi. Hal-hal lain pula semakin bertambah baik. Saya tidak rasa Peter menjadi semakin baik. Dia seorang budak lelaki yang menjelikkan yang berbaring di atas katilnya sepanjang hari dan hanya bangun untuk melakukan sedikit kerja-kerja tukang sebelum menyambung tidurnya. Pemalas betul!
Pagi tadi Ibu berleter lagi kepada saya. Kami sentiasa mempunyai pandangan yang berbeza dalam semua hal. Ayah seorang yang baik; dia mungkin akan marah denagn saya tetapi ia tidak pernah lebih dari lima minit.
Cuaca sangat baik di luar, cantik dan panas, dan di sebalik semua yang telah berlaku, kami memanfaatkan cuaca yang baik dengan berbaring di atas katil lipat di loteng.
Yang benar,
Anne
ULASAN YANG DITAMBAH OLEH ANNE PADA 21 SEPTEMBER, 1942: Kebelakangan ini Encik van Daan melayan saya dengan begitu baik. Saya tidak akan berkata apa-apa tetapi saya akan menikmatinya selagi dia berkeadaan ebgitu.
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.