Isnin, 21 September, 1942
kehadapan Kitty,
Hari ini saya akan memberitahu berita umum yang berlaku di Bilik Rahsia. Satu lampu telah dipasang di atas katil kayu jati saya supaya pada masa akan datang, ketika saya mendengar bunyi tembakan, saya boleh menarik satu tali untuk menyalakannya. Ketika ini saya tidak boleh menggunakannya kerana kami membiarkan tingkap kami terbuka sedikit sepanjang hari.
Ahli lelaki keluarga van Daan telah membina satu almari simpanan makanan daripada kayu yang sangat berguna dengan skrin yang sebenar. Sehingga sekarang peti ini terletak di bilik Peter tetapi kerana mengambilkira keperluan udara segar, ia dialihkan ke loteng. Tempatnya diambil alih oleh satu rak. Saya menasihatkan Peter supaya meletakkan mejanya di bawah rak itu dan mengalasnya dengan kain alas yang bagus dan menggantung almarinya di tempat di mana meja itu dletakkan. Itu mungkin boleh membuatkan biliknya lebih selesa teapi saya mungkin tidak mahu tidur di sana.
Saya tidak tahan dengan Puan van Daan. Dia terus memarahi saya kerana saya kuat bercakap ketika saya berada di tingkat atas. Saya langsung tidak memperdulikannya kata-katanya! Ketika ini Puan van Daan mempunyai muslihat baru untuk tidak membasuh pinggan dan kuali. Jika masih ada sisa makanan di dasar periuk, dia akan membiarkannya sehingga basi dan tidak meletakkannya di sinki. Pada sebelah petang ketika Margot ditugaskan untuk membasuh periuk dan kuali, Puan van Daan akan berkata, "Oh, kasihannya Margot, banyak betul kerja yang dia perlu buat!"
Setiap Minggu, Encik Kleiman akan membawa beberapa buku yang sesuai dibaca oleh budak perempuan seperti saya. Saya begitu teruja dengan siri buku loop ter Heul. Saya gembira membaca kesemua buku tulisan Cissy van Marxveldt. Saya sudah membaca The Zaniest Summer dan ceritanya yang tidak munasabah masih mampu membuatkan saya ketawa.
Ketika ini Ayah dan saya sedang membuat salasilah keluarga kami dan sambil kami menyiapkannya, dia akan memberitahu saya tentang setiap orang yang dimasukkan ke dalam salasilah itu. Saya berusaha keras mempelajari bahasa Perancis dan cuba menghafal lima perkataan yang susah setiap hari. Tetapi saya sudah terlupa banyak perkara yang saya pelajari ketika di sekolah.
Peter pula mula memaksa dirinya belajar bahasa Inggeris. Beberapa buah buku sekolah baru sahaja sampai dan saya pula membawa banyak bekalan buku nota, pensil, pemadam dan pelekat dari rumah. Pim (nama manja yang kami berikan untuk Ayah) mahu saya menolongnya mempelajari bahasa Belanda. Saya tidak kisah mengajarnya jika dia boleh mengajar saya bahasa Perancis dan subjek-subjek lain. Tetapi kesalahan bahasa yang dilakukannya memang teruk!
Kadang-kadang saya mendengar siaran radio Belanda dari London. Baru-baru ini Putera Bernhard mengumumkan bahawa Puteri Julian bakal melahirkan anak pada bulan Januari dan saya rasa ia berita yang menggembirakan. Tiada siapa di sini yang faham kenapa saya begitu berminat dengan hal-hal berkaitan Keluarga DiRaja.
Beberapa malam lepas saya menjadi topik perbualan di sini dan kami semua memutuskan saya seorang yang bodoh. Akibatnya, saya mula melakukan kerja-kerja sekolah saya semula kerana saya tidak mahu ketinggalan kelas apabila sudah berumur empat belas atau lima belas tahun. Fakta bahawa saya masih tidak dibenarkan untuk membaca banyak jenis buku juga dibincangkan. Pada ketika ini, Ibu sedang membaca Gentlemen, Wives and Servants dan sudah tentunya saya tidak dibenarkan membacanya (tetapi Margot boleh!). Pertama, intelek saya perlu matang, seperti kakak saya yang bijaksana. Kemudian kami berbincang tentang saya yang tidak tahu apa-apa tentang falsafah, psikologi and psiologi (saya serta-merta mencari maksud perkataan-perkataan ini di dalam kamus!). Memang benar, saya memang tidak tahu apa-apa tentangnya. Tetapi tahun depan saya mungkin akan menjadi lebih pandai!
Saya begitu terkejut apabila menyedari saya hanya mempunyai satu gaun lengan panjang dan tiga kardigan untuk musim sejuk. Ayah memberi kebenaran keapda saya untuk mengait baju panas putih dari benang bulu biri-biri. Benangnya tidak cantik tetapi apa yang lebih penting ia boleh memanaskan badan. Beberapa helai pakaian kami ditinggalkan bersama sahabat-sahabat keluarga kami tetapi malangnya kami tidak boleh mengambilnya sehingga perang tamat. Itupun jika pakaian itu masih ada.
Saya baru selesai menulis sesuatu tentang Puan van Daan ketika dia masuk ke dalam bilik. Saya serta-merta menutup diari.
"Hai Anne, takkan saya tak boleh tengok langsung?"
"Tak boleh, Puan van Daan."
"Mukusarat terakhir pun tak boleh?"
"Tak boleh, walaupun mukasurat terakhir, Puan van Daan."
Sudah tentu saya berasa seperti hampir mati kerana mukasurat terakhir itu adalah mukasurat yang mengandungi pelbagai tulisan yang tidak baik Puan van Daan
Setiap hari pasti ada sesuatu yang berlaku tetapi saya terlalu letih untuk menulis kesemuanya.
Yang benar,
Anne
***
Terjemahan ini adalah terjemahan dari teks terjemahan bahasa Inggeris oleh Barbara Mooyaart-Doubleday.