Kita
selalunya menggelar seseorang sebagai "ulat buku" jika mereka seorang
yang suka membaca. Tetapi wujud ulat buku sebenar di luar sana yang
menghadam bukan cerita di dalam buku tetapi material yang digunakan
untuk menghasilkan buku tersebut.
Ulat buku adalah nama umum yang digunakan untuk pelbagai jenis serangga yang memakan buku seperti kutu, ulat gegat, kumbang dan sebagainya. Serangga-serangga ini mungkin tidak berminat untuk memakan kertas tetapi ia boleh merosakkan kertas dalam usaha untuk memakan material lain yang terdapat pada buku tersebut. Ia selalunya aktif memakan tulang buku, kertas dan kadbod dan akan membuat lubang untuk menuju ke material-material ini. Ancaman ulat buku ini telah disedari berkurun lamanya. Pada zaman pertengahan, buku-buku yang dikerumuni ulat buku ini akan dibakar.
Pada
lewat kurun ke 19 pula, pengumpul dan pencetak buku dari British yang
bernama William Blades menulis sebuah buku The Enemies of Books yang
menerangkan tentang kebimbangannya mengenai kemusnahan buku-buku terbiar
oleh musuh-musuhnya seperti api, air, haba, habuk, ulat dan sebagainya.
Beliau seterusnya menerangkan sejarah tentang kemunculan ulat-ulat buku
ini dan jenis-jenisnya berdasarkan pengalaman beliau sendiri.
Serangan ulat buku ini sudah tentunya menjadi masalah berterusan bagi
perpustakaan, muzium dan buku-buku simpanan peribadi.
Kerosakan
yang berlaku boleh mendatangkan pelbagai bentuk kerugian samada dari
aspek kewangan, keadaan buku dan kesan kotoran yang berlaku pada buku
tersebut.
Walaupun masalah ini agak jarang berlaku pada masa kini, ia masih boleh
dijumpai jika buku tidak dijaga dengan betul. Justeru itu, langkah
berjaga-jaga perlu sentiasa diambil.
Pelbagai
kaedah boleh digunakan untuk menghalang serangan ulat buku ini.
Antaranya sentiasa menjaga kebersihan buku dan memastikan buku disimpan
ditempat yang mempunyai suhu yang sesuai. Satu lagi kaedah yang
dicadangkan oleh Northeast Document Conservation Center (NEDCC) adalah
menggunakan bahan kimia yang bersesuaian. Walaubagaimanapun, menggunakan
bahan kimia ini tidak digalakkan dan hanya sebagai langkah terakhir
jika kaedah-kaedah lain tidak berkesan.
***
Sumber: Metropolitan Museum