Konsep "pekan buku" pertama kalinya muncul pada penghujung tahun 1960an apabila sebuah pekan kecil di sempadan Wales/England iaitu Hay-on-Wye bertukar menjadi pekan buku. Ia memberikan peluang kepada penduduk tempatan untuk membuka kedai-kedai buku terpakai dan menjadikan pekan ini sebagai tempat berlangsungnya banyak acara-acara sastera.
Berikut adalah antara beberapa lagi pekan buku yang wujud di dunia ini.
1. BREDEVOORT, BELANDA
Bredevoort adalah sebuah pekan lama yang diubah menjadi sebuah pekan buku pada tahun 1993 kerana pekan ini mempunyai lebih 20 buah kedai buku antik dan terpakai. Setiap hari sabtu ketiga setiap bulan, pekan ini akan menganjurkan acara jualan buku terpakai yang menarik minat penjual-penjual buku di seluruh Belanda dan ia juga banyak menganjurkan acara-acara sastera.
2. REDU, BELGIUM
Pada tahun 1979, Noel Anselot pulang dari mengunjungi Hay-on-Wye dan ia memberi inspirasi kepada beliau untuk mengubah pekan kelahirannya sendiri menjadi pekan buku. Beliau menjemput ramai penjual buku untuk membuka kedai buku mereka di sini dan projeknya boleh dikatakan berjaya kerana masa kini terdapat 17 buah kedai buku terpakai yang dibuka di pekan ini.
3. HOBART, NEW YORK
Pada tahun 1999, pekan ini boleh dikatakan sebuah "pekan hantu" (masa kini terdapat 440 orang menetap di sini). Satu-satunya kedai yang beroperasi di pekan ini ketika itu hanyalah sebuah kedai makan. Don Dales yang menetap di sini mengambil peluang keemasan ini untuk membeli kedai-kedai kosong yang ada dan mengubahnya menjadi sebuah kedai buku antik. Kini terdapat enam buah kedai buku di sini dan ia menjadi destinasi kunjungan penduduk New York setiap minggu untuk membeli buku.
4. FJAERLAND, NORWAY
Fjaerland boleh dikatakan sebuah pekan buku yang agak sukar dikunjungi. Sebelum tahun 1994, pekan ini hanya boleh diakses menggunakan bot. Kedai-kedai buku di pekan ini dibina di bangunan-bangunan lama, bekas kandang kuda, kedai runcit, pejabat pos dan bilik menunggu feri. Kerana lokasinya yang agak susah dikunjungi, pekan buku ini hanya dibuka kepada pengunjung pada bulan Mei hingga September setiap tahun.
5. WIGTOWN, SCOTLAND
Wigtown telah dijadikan pekan buku kebangsaan di Scotland sejak tahun 1998. Pekan ini hampir ditinggalkan jika tidak kerana mereka memenangi pertandingan untuk mewujudkan satu-satunya pekan buku di Scotland. Sejak itu, ramai penjual buku berpindah ke sini dan sehingga kini terdapat lebih dua puluh kedai buku yang terdapat di pekan ini.
***
Sumber: Mental Floss